KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 peserta menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki berlangsung di ibu negara hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, seramai 200 pegawai dan anggota polis digerakkan bagi memantau keadaan sepanjang perhimpunan, termasuk bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bukit Aman.
“Secara keseluruhannya, perhimpunan yang bermula di sekitar Kompleks Sogo itu berjalan aman dan terkawal.
“Bagaimanapun, suasana sedikit kecoh apabila berlaku insiden pembakaran mercun di sepanjang perarakan namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam sidang akhbar di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Sazalee berkata, peserta telah berarak dari Sogo hingga ke persimpangan Jalan Tun Perak berhampiran Dataran Merdeka sebelum bersurai pada pukul 5.30 petang.
Katanya, pihak sekretariat tidak membuat sebarang permohonan atau pemakluman rasmi berhubung penganjuran himpunan tersebut.
“Kita kemungkinan akan panggil pihak penganjur,” katanya.
Sazalee turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama diberikan sehingga perhimpunan berkenaan dapat berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal. – UTUSAN








