Siasatan pegangan saham Azam Baki selesai, tunggu keputusan KSN - Fahmi

Siasatan pegangan saham Azam Baki selesai, tunggu keputusan KSN – Fahmi

FAHMI Fadzil (tengah) ketika sidang akhbar di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Isu siasatan terhadap pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disahkan telah selesai dan kini menunggu keputusan lanjut di peringkat tertinggi kerajaan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan berhubung dakwaan pegangan saham yang dikaitkan dengan Azam tidak lagi berada dalam fasa penyiasatan.

“Setahu saya, kalau yang dimaksudkan ialah siasatan berkaitan dakwaan pegangan saham, itu telah selesai. Proses selanjutnya yang sedang berlaku sekarang ialah yang diuruskan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kubang Semang, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam susulan laporan media asing Bloomberg mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat

Menurut Fahmi, keputusan muktamad berhubung perkara itu terletak di bawah bidang kuasa KSN berdasarkan dapatan yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, dapatan siasatan tersebut tidak boleh didedahkan buat masa ini bagi mengelakkan gangguan terhadap proses yang masih berjalan.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebarang pengumuman rasmi berhubung hasil keputusan itu akan dibuat pada masa yang sesuai selepas proses selesai sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×