Bekas Presiden Filipina dibicara berhubung perang dadah di mahkamah - Utusan Malaysia

Bekas Presiden Filipina dibicara berhubung perang dadah di mahkamah

RODRIGO DUTERTE - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selepas hakim pada Khamis mengesahkan pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan perang dadah beliau.

Duterte akan menjadi bekas ketua negara Asia pertama yang dibicarakan di ICC, mahkamah yang mendakwa individu bagi jenayah antarabangsa paling serius seperti jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hakim pra-perbicaraan ICC sebulat suara mengesahkan semua pertuduhan terhadap Duterte dan merujuk beliau ke perbicaraan, menurut kenyataan mahkamah.

Perbicaraan ini dijangka berlaku ketika ICC menghadapi salah satu tempoh paling sukar dalam sejarah 24 tahunnya, selepas Amerika Syarikat (AS)  mengenakan sekatan ke atas beberapa hakim dan pegawai mahkamah itu susulan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkaitan perang Gaza.

Namun, adalah tidak pasti sama ada Duterte yang berusia 81 tahun akan hadir di kandang tertuduh di The Hague, Belanda.

Pasukan pembelaannya mendakwa beliau terlalu lemah dari segi mental untuk mengikuti prosiding. Beliau juga tidak hadir dalam sesi pendengaran selama seminggu pada Februari yang menilai kesahihan pertuduhan.

Kali terakhir Duterte dilihat ialah melalui sesi video selepas penahanannya, di mana beliau kelihatan keliru dan letih, dengan suara hampir tidak kedengaran.

Menurut hakim pra-perbicaraan, terdapat asas kukuh untuk mempercayai bahawa beliau bertanggungjawab terhadap jenayah terhadap kemanusiaan termasuk pembunuhan dan cubaan membunuh. 

ICC kini akan menubuhkan panel perbicaraan tetapi prosiding dijangka mengambil masa beberapa bulan sebelum bermula.

Pendakwa ICC menyambut baik keputusan tersebut, menyifatkannya sebagai langkah penting dalam proses keadilan antarabangsa.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International turut mengalu-alukan keputusan itu dan menyatakan ia memberi harapan kepada mangsa termasuk keluarga yang terkesan oleh kempen anti-dadah di Filipina.

Perkembangan ini menandakan satu detik penting dalam usaha ICC untuk mendakwa pemimpin dunia yang dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia berskala besar, walaupun menghadapi tekanan politik antarabangsa semakin meningkat. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×