SEREMBAN: Mangsa jenayah rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, yang koma akibat dipukul suaminya menunjukkan perkembangan positif dan kandungannya berusia 12 minggu juga stabil.
Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, dia kini mengambil tanggungjawab menjaga kakak sulungnya itu yang dibawa tinggal bersama di Bandar Sri Sendayan di sini.
“Kakak (Jahidah) kini hanya terbaring dan tidak boleh bergerak, namun kini mampu memberi tindak balas dengan sesekali mengelipkan mata apabila kita memanggil namanya.
“Memang sedih melihat keadaannya, kakak hanya boleh minum susu melalui saluran tiub yang diberi setiap empat jam dan ada kalanya saya memberi makanan bijirin yang dikisar halus memandangkan kakak mengandung dan perlukan tenaga tambahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Menurut Fauziah yang merupakan suri rumah dan tinggal bersama suami dan anaknya berusia tiga tahun, keadaan Jahidah lemah dan memerlukan sokongan keluarga sepenuhnya.
“Kahak dalam saluran tiub kakak juga perlu disedut setiap hari selain bahagian belakang badannya kini mengalami luka-luka dan kudis kerana berada di atas katil terlalu lama.
“Setiap dua jam, saya akan menggerakkan kaki dan badan kakak untuk regangan, Alhamdulillah jururawat yang datang memantau keadaan kakak beritahu kandungannya dalam keadaan baik,” katanya.
Fauziah memberitahu, sebelum ini Jahidah dijaga oleh adiknya Fazariah Nordin, 38, yang tinggal di Melaka dan kini tugas beralih kepadanya memandangkan ahli keluarga lain berada di Keningau, Sabah.
Katanya, dia tidak begitu mengenali abang iparnya itu dan hanya bertemu ketika Jahidah berkahwin pada Jun tahun lalu.
“Pasangan ini kelihatan mesra dan kakak tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepada keluarga kerana sikapnya begitu.
“Lebih mengejutkan seminggu sebelum kejadian kakak menunjukkan gambar dia hamil dan kami tidak tahu suaminya ada isteri lain,” katanya.
Dalam pada itu, Fauziah memohon keadilan sewajarnya bagi pihak kakaknya yang menderita dan tidak boleh menjalani kehidupan normal selepas kejadian tersebut. – UTUSAN











