SHAH ALAM: Kerajaan negeri Pahang berpegang kepada prinsip bahawa setiap hasil negeri mesti dirasai oleh rakyat.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pentadbiran negeri perlu diurus secara berkesan, kutipan hasil diperkukuh dan sektor ekonomi terus dipacu supaya kemakmuran dicapai dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.
“Keberhasilan sebenar ialah apabila rakyat merasai manfaatnya dan pembangunan bergerak seiring dengan kebajikan selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
“Semua ini membuktikan kerajaan negeri bukan sekadar bercakap soal kebajikan, tetapi benar-benar menterjemahkannya melalui tindakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian
Inisiatif Makmur Pahang Barakah Haji Kluster Anak Perantauan Pahang Tahun 1447H/2026M di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, semalam.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memperkukuh pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang sebagai payung besar kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan peruntukan keseluruhan RM84.59 juta tahun ini.
Katanya, di bawah kluster agama, pelbagai bantuan dilaksanakan melibatkan peruntukan RM16.95 juta bagi memperkasa syiar Islam dan memperkukuh institusi agama.
“Antaranya sumbangan RM10,000 kepada masjid dan RM4,000 kepada surau kebenaran Jumaat.
“Turut disalurkan sumbangan khairat kematian RM200 kepada waris, bantuan RM200 kepada mualaf dan peruntukan RM600,000 bagi pemerkasaan koperasi masjid,” katanya.
Bantuan lain termasuklah RM2,000 kepada maahad tahfiz berdaftar, insentif RM300 kepada pasangan pengantin baharu dan Bantuan Khas Aidilfitri kepada petugas agama berjumlah RM1.28 juta serta peruntukan RM1.3 juta bagi Program Berkhatan Anak Pahang. – UTUSAN










