Malaysia peroleh AS$60.2 juta dana Bank Pembangunan Asia

Malaysia peroleh AS$60.2 juta dana Bank Pembangunan Asia

ADB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Pembangunan Asia (ADB) memperuntukkan AS$9 bilion (RM35.7 bilion) kepada Asia Tenggara pada 2025, dengan Malaysia menerima bahagian terkecil sebanyak AS$60.2 juta (RM238.7 juta) daripada pembiayaan tersebut.

Menurut Laporan Tahunan ADB 2025, daripada AS$9 bilion (RM35.7 bilion) tersebut, AS$7.3 bilion (RM28.9 bilion) diperuntukkan kepada sektor awam, manakala AS$1.6 bilion (RM6.34 bilion) kepada sektor swasta.

Kata laporan itu, dana pembiayaan bagi Malaysia telah diberikan kepada Jingxing Holdings Malaysia Sdn. Bhd. bagi mengembangkan kemudahan kitar semula kertas buangan dan pengeluaran kertas pembungkusannya di Selangor.

“Industri pembungkusan berasaskan kertas Malaysia sedang menikmati peningkatan permintaan untuk alternatif lestari dan bermutu tinggi kepada pembungkusan plastik guna tunggal.

“Bagi membantu mengembangkan kitar semula kertas domestik dan mengurangkan tapak pelupusan sampah, ADB menyediakan pinjaman sektor swasta bernilai AS$60.2 juta (RM238.7 juta) kepada Jingxing Holdings Malaysia.

“Pinjaman ini akan membiayai pemasangan teknologi canggih yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kemudahan tersebut sebanyak 600,000 tan,” kata laporan tersebut.

Antara negara-negara Asia Tenggara, Filipina menerima bahagian terbesar iaitu AS$6.81 bilion, diikuti oleh Indonesia (AS$4.39 bilion) dan Vietnam (AS$1.96 bilion).

Bagi tahun ketiga berturut-turut, Asia Tenggara menduduki tempat kedua penerima bantuan institusi pelbagai hala itu, menyumbang 31 peratus daripada jumlah komitmen.

Sementara itu, Asia Selatan kekal sebagai yang terbesar iaitu sebanyak AS$9.7 bilion atau 33 peratus pada 2025.

ADB berkata, Asia Tenggara menghadapi bencana alam dan isu alam sekitar jangka panjang pada 2025 dan pihaknya memberi fokus pada tenaga boleh diperbaharui, persediaan bencana, sistem pertanian dan makanan yang mampan dan inisiatif yang menggalakkan pertumbuhan rendah karbon dan ekonomi kitaran.

Pengerusinya, Masato Kanda berkata, ADB menyokong rakyat Asia Tenggara dengan program untuk memastikan makanan yang mencukupi dan berkhasiat, meluaskan akses kepada pendidikan dan kesihatan dan meningkatkan kehidupan seharian melalui infrastruktur dan perkhidmatan penting.

Tambah ADB, pihaknya menjangkakan pinjaman akan meningkat pada 2026 dan 2027, pacu oleh kakitangan tambahan dan bantuan teknikal, di samping pembaharuan untuk mengembangkan kapasiti pembiayaan bank.

Ini termasuk perubahan pada rangka kerja modalnya dan pemansuhan had pinjaman ke atas operasi biasa, yang berkuat kuasa pada Mac 2026, serta inisiatif untuk mengembangkan operasi sektor swasta daripada 20 peratus kepada 27 peratus daripada jumlah komitmen.

Program kerja ADB 2026-2028 menggariskan komitmen pinjaman dan geran berjumlah AS$98.6 bilion (RM390 bilion).

“Daripada jumlah ini, AS$78.7 bilion (RM312 bilion) diperuntukkan untuk operasi berdaulat, manakala AS$19.9 bilion (RM78.8 bilion) diperuntukkan kepada operasi bukan berdaulat.

“Program ini dijangka menyokong sekitar 240 projek setiap tahun, mewakili peningkatan yang lebih besar berbanding tahun-tahun kebelakangan ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×