17 cedera dua tren bertembung di Denmark

17 cedera dua tren bertembung di Denmark

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Dua tren berlanggar dari arah bertentangan berhampiran ibu negara Denmark pada Khamis, menyebabkan lebih 17 orang cedera, menurut polis dan laporan media.

Laporan media menyebut empat daripadanya berada dalam keadaan kritikal selepas perlanggaran di kawasan Gribskov, kira-kira 40 kilometer di utara Copenhagen.

Dalam kenyataan polis, insiden itu disifatkan sebagai kemalangan serius, manakala jurucakap polis memberitahu AFP semua penumpang sudah dipindahkan keluar dari tren.

“Dua tren  berlanggar dan polis serta perkhidmatan kecemasan dikerahkan dalam jumlah besar,” kata kenyataan itu.

Amaran kecemasan dikeluarkan pada pukul 6:30 pagi (waktu tempatan), menurut jurucakap polis Tim Simonsen.

“Ia adalah perlanggaran dari arah bertentangan dan terdapat kecederaan dalam kalangan penumpang,” katanya kepada AFP, tanpa memberikan butiran lanjut.

Datuk Bandar Gribskov, Trine Egetved dalam kenyataan di Facebook memaklumkan sebahagian mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan helikopter.

“Tren ini digunakan oleh ramai penduduk Gribskov terutama pekerja dan pelajar. Pasukan perkhidmatan kecemasan sedang bekerja tanpa henti dan kami sedang berusaha di peringkat pusat untuk mendapatkan gambaran jelas tentang apa yang berlaku serta memastikan semua orang menerima bantuan yang mereka perlukan,” katanya.

Kawasan kejadian ditutup oleh polis. Gambar media menunjukkan bahagian hadapan lokomotif kedua-dua tren remuk teruk selepas perlanggaran yang berlaku antara bandar Hillerod dan Kagerup.

Denmark sebelum ini dikenali dengan rekod keselamatan pengangkutan yang baik, namun insiden pada 2019 telah meragut lapan nyawa dan mencederakan 16 orang.

Pada Ogos tahun lalu, satu lagi kemalangan melibatkan tren ekspres dan kenderaan ladang turut mengorbankan seorang penduduk serta mencederakan 27 orang.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×