Pemuda mengaku sebabkan kematian, cederakan budak 

Pemuda mengaku sebabkan kematian, cederakan budak di Kampung Banggol Katong

MUHAMMAD Firdaus Zamri diiringi anggota polis semasa dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang kelindan lori berusia 31 tahun mengaku bersalah  di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki pada pertengahan bulan ini.

Muhammad Firdaus Zamri, 31, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli, sekali gus berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian ke atas Muhammad Adamdanial Abdul Khafidh, 4, dengan niat hendak menyebabkan suatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Banggol Katong di sini, kira-kira pukul 6 petang pada 11 April 2026.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Muhammad Firdaus didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang sama dengan menggunakan sebatang rotan di lokasi dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 April ini sebagai tarikh jatuh hukum. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×