TM sedia akses internet percuma kepada 2,000 pelajar B40 - Utusan Malaysia

TM sedia akses internet percuma kepada 2,000 pelajar B40

TM terpaksa mematikan bekalan elektrik dan peralatan rangkaian di beberapa kawasan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk di situ serta mengurangkan sebarang potensi risiko. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi yayasannya, Yayasan TM (YTM) telah menyediakan akses internet percuma kepada 2,000 pelajar sekolah dari keluarga kumpulan B40 di seluruh negara.

Bantuan itu diberikan bagi memudahkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kad SIM unifi Mobile #BEBAS 15GB LTE dilengkapi dengan akses internet percuma selama setahun yang bernilai RM250 telah diedarkan kepada 2,000 orang pelajar menjadikan nilai sumbangan keseluruhan RM500,000.

Pengarah YTM, Abdul Hamid Hashim berkata, setiap pelajar berhak mendapatkan akses yang saksama kepada pendidikan.

“Kami berharap usaha murni ini dapat memenuhi keperluan pelajar terhadap sambungan internet semasa tempoh yang mencabar ini supaya mereka dapat turut serta sepenuhnya dalam proses pembelajaran dalam talian.

“Itu sememangnya amat penting lebih-lebih lagi kerana pelajar-pelajar ini akan menduduki peperiksaan penting pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pihaknya akan terus menyokong peranan Kumpulan TM sebagai rakan yang diyakini dalam pembangunan negara, dengan fokus pada pendidikan dan pembangunan modal insan ke arah melahirkan tenaga kerja digital untuk memacu Digital Malaysia.

Menurutnya, di bawah inisiatif itu, sebanyak 1,200 kad SIM tersebut telah diedarkan di seluruh negara melalui Yayasan Raja Muda Selangor (300 kad SIM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) (300 kad SIM) dan 11 buah sekolah (600 kad SIM).

“Di samping itu, kami turut menyumbang 800 kad SIM lagi bernilai RM200,000 kepada golongan berpendapatan rendah melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TM untuk menyokong inisiatif kerajaan seperti Tabung CERDIK dan #MYBAIKHATI.

“Kami juga menawarkan pelajar yang baru mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu untuk memohon biasiswa Yayasan TM Future Leaders 2021,” tambah Abdul Hamid.

Ujarnya, pemohon yang berjaya akan berpeluang melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan TM, Universiti Multimedia (MMU).

Abdul Hamid memberitahu, penerima biasiswa itu akan menerima bantuan kewangan sepanjang pengajian dan akan mengikuti program pembangunan diri semasa masih di universiti untuk mempersiapkan mereka memasuki dunia pekerjaan.

Sejak penubuhannya pada 1994, YTM telah menganugerahkan tajaan biasiswa pendidikan kepada lebih 15,000 pelajar yang layak dengan prestasi akademik cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah dan latar belakang pelbagai etnik.

Tarikh akhir permohonan adalah pada 20 Jun 2021 dan permohonan boleh dibuat di  http://bit.ly/yayasantmscholarship. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×