PETALING JAYA: Technology Depository Agency (TDA) kini merangka tiga strategi pelaksanaan untuk membantu pemulihan ekonomi negara mengikut tiga keutamaan selaras jalan keluar negara daripada pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr. Sharoul Jambari berkata, ia sejajar usahanya selaku agensi yang dimandatkan oleh Kementerian Kewangan bagi melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP) untuk membantu memulihkan negara panca pandemik.
Katanya, strategik pertama adalah membabitkan peluang pekerjaan khususnya dalam bidang teknikal, kemahiran tinggi dan berkepakaran termasuklah secara upskilling dan reskilling pasca pandemik.
“Keduanya, pembangunan kapasti dan keupayaan khususnya melibatkan syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) termasuk padanan dan kerjasama strategik bersama pemain global.
“Terakhir sekali adalah kolaborasi bersama inisiatif kerajaan sedia ada seperti Program Pembangunan Vendor (PPV), pembangunan teknologi, pengkomersialan dan sebagainya melalui kerjasama strategik.
“Usaha ini amat memerlukan kerjasama yang erat antara TDA bersama pihak kementerian dan pemain industri agar kepentingan bersama dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharoul justeru berharap sokongan berterusan kementerian dan agensi serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkasakan pelaksanaan ICP terhadap pelbagai perolehan yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan, teknologi, industri dan merangsang pertumbuhan serta pemulihan ekonomi negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, TDA menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara bagi membendung penularan wabak menjelang akhir tahun dan sekaligus membolehkan usaha pemulihan ekonomi dirancakkan.
Ujar beliau, pelan tersebut merangkumi empat fasa yang mana ditentukan oleh tiga indikator dan ia memerlukan kerjasama seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan pelan pemulihan ini berjaya direalisasikan sepenuhnya.
“TDA menyokong usaha tersebut dengan melaksanakan mod bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya bermula sejak pengumuman PKP 3.0 selain daripada memastikan SOP pencegahan penyebaran Covid-19 di tempat kerja sentiasa dipatuhi,” katanya. – UTUSAN










