PETALING JAYA: Semua ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang terpalit siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direhatkan serta-merta, termasuk dua yang direman empat hari berkait penyelewengan wang sumbangan kira-kira RM230 juta.
Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sewajarnya dalam kes penahanan tiga individu di Hulu Selangor yang disyaki terlibat berkaitan pengurusan wang sumbangan.
Beliau berkata, Ikram menegaskan bahawa integriti dan amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.
“Sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi.
“Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Badlishah berkata, perkara itu melibatkan tindakan individu dan tidak membabitkan organisasi secara langsung.
Katanya, selaras dengan Perlembagaan Ikram, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara.
“Ikram akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini.
“Kami juga komited untuk terus menilai dan memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Semakan dalaman sedang dan akan diteruskan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh,” katanya. –UTUSAN










