SELAT Melaka ialah pusat strategik yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan. Pada masa sama menjadi asas keselamatan, kemakmuran serta kedaulatan Malaysia.
Lebih daripada sekadar laluan perkapalan, selat ini mengendalikan kira-kira satu pertiga perdagangan global dan melebihi 100,000 pergerakan kapal setahun, termasuk hampir 25 peratus penghantaran minyak dunia melalui laut.
Kepentingan ini menuntut pendekatan perundangan dan tadbir urus yang menyeluruh, bersepadu dan berpaksikan prinsip kelestarian sejagat seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Daripada sudut undang-undang antarabangsa, Malaysia memikul tanggungjawab sebagai negara pesisir di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982). Tanggungjawab ini bukan sahaja melibatkan keselamatan navigasi tetapi juga perlindungan alam sekitar marin serta pengurusan sumber secara adil.
Justeru, Selat Melaka perlu ditadbir sebagai ‘ruang kedaulatan dinamik’ yang menuntut koordinasi antara undang-undang domestik dan komitmen global.
Pengalaman laluan strategik lain seperti Terusan Suez dan Selat Dover menunjukkan sistem pengurusan trafik pintar, penguatkuasaan undang-undang konsisten dan perancangan ruang yang teliti adalah prasyarat kepada kecekapan dan keselamatan jangka panjang.
Dalam konteks perundangan tanah dan perancangan bandar, pembangunan pesisir Selat Melaka terutamanya projek penambakan laut memerlukan penelitian yang ketat.
Kerangka seperti Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) perlu ditafsir dan dilaksanakan secara harmoni dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4).
Isu hak milik tanah bawah air dan persempadanan kuasa negeri hendaklah diselaraskan secara telus bagi mengelakkan konflik bidang kuasa antara negeri. Tanpa kejelasan ini, pembangunan berisiko mencetuskan pertikaian undang-undang yang menjejaskan keyakinan pelabur dan kepentingan awam.
Lebih penting, setiap projek pesisir mesti melalui Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) yang telus dan bermakna. Instrumen ini tidak boleh dianggap sekadar prosedur formal tetapi sebagai mekanisme keadilan sosial.
Komuniti nelayan dan penduduk tempatan mempunyai hak untuk dilindungi daripada kesan negatif pembangunan. Sekuriti makanan negara juga bergantung kepada kelestarian ekosistem marin. Oleh itu, perancangan bandar pesisir perlu menggabungkan prinsip inklusiviti, kebajikan rakyat dan memastikan manfaat ekonomi diagihkan secara saksama.
Dalam sektor pembangunan hartanah, risiko projek terbengkalai di kawasan pesisir perlu ditangani secara sistematik. Projek mega yang bergantung kepada permintaan pasaran global terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi. Oleh itu, pendekatan ‘Bina Dahulu, Jual Kemudian’ (BTS) wajar diperluaskan bagi projek berisiko tinggi.
Di samping itu, insurans pembangunan, dana pemulihan projek serta kewajipan pemaju di bawah undang-undang perumahan dan hartanah perlu diperkukuh.
Reformasi ini wajib mengintegrasikan undang-undang tanah, perancangan dan insolvensi secara holistik.
Pendekatan adil, preventif dan kuratif ini kritikal bagi melindungi pembeli, mengurangkan beban kewangan kerajaan serta memastikan setiap pembangunan maritim menyumbang nilai ekonomi mampan demi kedaulatan negara.
Aspek insolvensi korporat juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan projek strategik.
Mekanisme seperti Pengurusan Kehakiman dan Penyusunan Sukarela Korporat (CVA) di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777) perlu digunakan secara lebih efektif. Infrastruktur kritikal seperti pelabuhan dan zon industri pesisir tidak boleh terhenti akibat kegagalan kewangan pemaju.
Pengalaman antarabangsa menunjukkan pemisahan fungsi infrastruktur daripada liabiliti korporat mampu mengekalkan operasi walaupun berlaku krisis kewangan.
Malaysia wajar menyesuaikan pendekatan ini dalam konteks tempatan.
Dalam konteks Zon Ekonomi Khas (SEZ), Selat Melaka berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi berimpak tinggi. Namun, kejayaan SEZ bergantung kepada kejelasan undang-undang, kecekapan kelulusan dan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sistem ‘satu pintu’ dengan piawaian masa yang jelas perlu diwujudkan bagi mengurangkan birokrasi dan meningkatkan daya saing. Tanpa reformasi institusi ini, potensi SEZ tidak akan dapat direalisasikan sepenuhnya.
Malaysia juga mempunyai kelebihan strategik sebagai hab kewangan Islam global. Instrumen seperti sukuk hijau dan sukuk lestari boleh dimanfaatkan untuk membiayai pembangunan pelabuhan hijau dan infrastruktur marin.

URUS CARA ISLAM
Prinsip syariah yang menekankan keadilan, perkongsian risiko dan tanggungjawab sosial selaras dengan konsep Ekonomi Biru.
Dalam pembiayaan hartanah pesisir, kontrak seperti Musharakah Mutanaqisahdan Ijarah Mausufah bi Zimmah menawarkan perlindungan yang lebih seimbang kepada pengguna berbanding model konvensional.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keadilan ekonomi tetapi juga memperkukuh keyakinan pasaran.
Daripada sudut teknologi, penggunaan analitik data besar dan sistem pemantauan pintar perlu diperkasakan. Peningkatan trafik akibat ketegangan geopolitik global boleh menyebabkan kesesakan dan risiko keselamatan.
Penubuhan pusat koordinasi maritim bersepadu akan membolehkan respons pantas terhadap insiden seperti tumpahan minyak atau kemalangan kapal.
Kerjasama serantau melalui ASEAN juga penting untuk memastikan Selat Melaka kekal sebagai zon aman dan stabil.
Secara keseluruhannya, Selat Melaka bukan sekadar laluan perdagangan tetapi simbol kedaulatan dan potensi masa hadapan Malaysia.
Pengurusannya memerlukan integrasi undang-undang tanah yang mampan, perancangan bandar yang inklusif, ketahanan korporat melalui undang-undang insolvensi serta inovasi dalam kewangan Islam.
Jika pendekatan ini dilaksanakan secara konsisten dan bersepadu, Malaysia berupaya membina satu model tadbir urus maritim yang unggul di peringkat global.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah Pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Bersekutu (ACIS), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) & Timbalan Presiden, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).










