Laporan Utusan Malaysia bertarikh 15 Jun 2021 tentang lambakan siswazah bumiputera dalam bidang perubatan amat membimbangkan. Mengikut laporan itu, kira-kira 1,800 siswazah perubatan tidak dapat diserap masuk ke dalam perkhidmatan awam setiap tahun. Angka sebenar dijangka lebih besar dan akan bertambah jika diambil jumlah terkumpul dari tahun ke tahun.
Namun, yang peliknya, sistem perkhidmatan kesihatan negara dikatakan semakin terbeban dari tahun ke tahun. Kini bebanan itu hampir sampai ke tahap maksimum akibat wabak Covid-19 yang melanda sejak awal tahun lalu. Pihak swasta dan industri pula tidak begitu pantas menyerap masuk siswazah ini.
Krisis pandemik dialami sekarang jika diteliti sebenarnya boleh mencipta peluang baharu kepada mereka. Khidmat mereka boleh digunakan dalam pelbagai aktiviti kawalan dan pengurusan wabak. Mungkin dalam aspek klinikal seperti merawat pesakit di wad hospital atau klinik awam belum boleh digunakan sepenuhnya kerana perlu dilatih secara amali terlebih dahulu, tetapi mereka sudah mempunyai kebolehan mencukupi untuk membantu petugas kesihatan di lapangan.
Contohnya, program pengesanan atau saringan secara besar-besaran di peringkat komuniti atau lokasi yang dianggap hotspot atau berisiko tinggi. Ujian RTK (rapid test kit) boleh dilaksanakan oleh siswazah perubatan dengan kawal selia petugas kesihatan terlatih. Kaedah intervensi yang boleh dilakukan adalah seperti menguruskan kemasukan pesakit ke hospital atau sekadar menasihati mereka supaya menjalani kuarantin diri atau menjalankan penjejakan kontak. Sudah tentu siswazah ini mampu memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar tentang sanitasi dan prosedur operasi standard (SOP).
Program di peringkat komuniti sebegini juga penting untuk memberi kesedaran tentang keperluan vaksinasi dan membantu mengatasi kelembapan proses vaksinasi di peringkat akar umbi. Malah siswazah ini sebenarnya berkebolehan untuk terlibat secara langsung. Program ini bukan setakat menyucuk vaksin ke bahu orang tetapi juga melibatkan pengambilan dan pengolahan data serta tindakan susulan pharmaco-vigilance selepas suntikan.
Satu lagi bidang yang amat diperlukan ialah pengurusan data wabak. Siswazah perubatan memang pernah didedahkan dengan asas epidemiologi semasa tahun akhir pengajian, justeru tidaklah terlalu sukar bagi mereka untuk menggarap tugas ini.
Justeru, saya menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif dengan segera membentuk pasukan khas terdiri daripada siswazah perubatan untuk mengisi keperluan mendesak. Pasukan khas ini bersifat sementara dan tidak diserap masuk ke dalam skim perkhidmatan awam secara tetap kerana mereka perlu menjalani latihan amali terlebih dahulu. Sudah tentu mereka diberikan gaji dan elaun munasabah sementara mendapat tempat untuk menjadi doktor pelatih di mana-mana hospital.
Antara keperluan mendesak untuk jangka panjang bagi Malaysia ialah membina keupayaan sendiri dalam bidang diagnosa seperti pengeluaran RTK dan penghasilan vaksin. Siswazah perubatan amat layak diberikan latihan lanjutan dengan segera dalam bidang bioteknologi supaya negara mempunyai kepakaran dalaman tersendiri. Tidak semua perlu menjadi doktor, mereka juga boleh menjadi saintis dan teknologis.
Wan Izzuddin Sulaiman pernah berkhidmat di Bahagian Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Kementerian Kesihatan.











