KUALA LUMPUR: Cadangan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka perlu dinilai secara realistik terutama jika membabitkan faktor geopolitik semasa.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, perkara itu perlu mengambil kira had tempoh sesuatu pilihan raya yang boleh ditangguhkan serta kemungkinan implikasi lain.
Katanya, konflik geopolitik lazimnya tidak mempunyai jangka masa tertentu untuk berakhir, sekali gus menyukarkan sebarang cadangan penangguhan pilihan raya dibuat tanpa pertimbangan menyeluruh.
“Sekiranya mahu ditangguhkan itu ialah kerana keadaan geopolitik, haruslah kita sedar keadaan geopolitik akan mengambil masa, tiada tempoh tertentu bila akan berakhir.
“Begitu juga dengan menangguhkan pilihan raya, ia juga ada tempoh tamatnya, bukan boleh ditangguhkan sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program terbitan Bernama Radio di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen dilaporkan mencadangkan agar PRN Johor dan Melaka yang dijangka berlangsung tahun ini ditangguhkan berikutan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, sebarang keputusan berkaitan PRN perlu mengambil kira keadaan semasa dan tidak boleh ditangguhkan tanpa had.
Menurutnya, parti politik juga perlu bersedia menghadapi pilihan raya apabila tiba masanya.
“Marilah kita berdepan dengan keadaan itu apabila tiba waktunya,” katanya.
Sementara itu, Fuziah berkata, PKR menerima beberapa aduan rasmi berhubung insiden yang berlaku dalam mesyuarat cabang parti itu termasuk di Puchong, Selangor yang didakwa berlaku sedikit kekecohan.
“Setakat ini Pejabat Setiausaha Agung belum membuat keputusan sama ada mengesahkan atau membatalkan mesyuarat cabang tersebut kerana setiap laporan perlu diteliti secara menyeluruh.
“Tidak adil jika kita hanya menerima maklumat daripada satu pihak sahaja,” katanya. – UTUSAN










