Anak Melaka pertaruh kemahiran fesyen buru emas di WorldSkills Shanghai

Anak Melaka pertaruh kemahiran fesyen buru emas di WorldSkills Shanghai

NADRATULLIYANA AB. MALEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ikon Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) Telok Mas, Nadraltulliyana Ab. Malek, 22, berazam mengharumkan nama negara apabila menyasarkan pingat emas dalam WorldSkills Competition Shanghai 2026 dari 22 hingga 27 September ini.

Pelatih pusat GiatMara Simpang Ampat yang mengikuti pengajian dalam bidang Teknologi Fesyen itu kini sedang giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi cabaran getir peserta daripada 22 buah negara.

Nadraltulliyana yang bakal mempertaruhkan kemahirannya dalam kategori teknologi fesyen pada pertandingan itu yakin dapat menyumbang pingat emas berdasarkan prestasinya ketika muncul juara kategori sama di temasya WorldSkills Asia Taipei 2025.

Menurut anak jati Melaka itu, meskipun soalan rasmi bagi pertandingan peringkat dunia itu masih belum diperoleh, dia sebaliknya kini memberi fokus kepada latihan intensif yang berkaitan dengan kemahiran tersebut.

“Insya-Allah, saya berharap dapat membawa pulang pingat emas untuk Malaysia dalam pertandingan akan datang apa lagi dibantu dua jurulatih Nor Azah Mohamad dan Noorizah Hamid Dol,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi TVET Melaka 2026 di Banda Hilir malam tadi.

Sebelum ini, anak bongsu daripada sembilan beradik itu telah mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas dalam pertandingan peringkat ASEAN di Manila Ogos tahun lalu termasuk peringkat Asia di Taipei sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kecemerlangan di peringkat lebih tinggi.

Mengenai perancangan masa depan, dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat diploma di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau serta bercita-cita menjadi tenaga pengajar dalam bidang kemahiran teknologi fesyen.

Katanya, langkah tersebut diambil bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dengan generasi baharu sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor TVET negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×