MALAYSIA bukan sekadar sebuah negara berdaulat, tetapi sebuah eksperimen sosial yang berjaya menggabungkan kepelbagaian agama, budaya dan latar belakang dalam satu kerangka kehidupan yang relatif aman dan stabil.
Dalam dunia yang semakin terpolarisasi akibat pertembungan identiti, realiti masyarakat majmuk di negara ini berdiri sebagai satu anomali yang membanggakan, malah menjadi rujukan dan perhatian masyarakat antarabangsa.
Keunikan ini tidak hadir secara kebetulan, tetapi terhasil daripada kebijaksanaan kepimpinan terdahulu yang berjaya merangka satu formula keharmonian berasaskan toleransi, saling menghormati dan kepekaan terhadap garis sensitiviti setiap kaum dan agama.
Formula ini telah teruji merentas dekad, mengharungi pelbagai cabaran politik dan sosial, namun tetap utuh sebagai asas kestabilan negara.
Maka, sebarang dasar atau peraturan baharu yang ingin diperkenalkan hari ini tidak boleh sewenang-wenangnya menyimpang daripada acuan yang telah terbukti keberkesanannya.
Bagaimanapun, mutakhir ini timbul polemik apabila terdapat pandangan yang dilihat cenderung melonggarkan pendekatan terhadap kesalahan tertentu, khususnya berkaitan isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Walaupun dilihat sebagai satu pandangan peribadi atau perspektif alternatif, implikasinya terhadap struktur sosial negara tidak boleh dipandang enteng.
Dalam konteks masyarakat majmuk, setiap kenyataan daripada pihak berautoriti mempunyai kesan yang melangkaui ruang wacana kerana boleh mencorakkan persepsi, mempengaruhi tingkah laku dan mencetuskan reaksi berantai dalam kalangan masyarakat.
Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan sistem nilai yang berbeza, justeru sesuatu dasar tidak boleh digubal hanya berdasarkan pandangan individu atau kelompok tertentu.
Pendekatan sebegini bukan sahaja bersifat eksklusif, malah berpotensi menimbulkan rasa terpinggir dalam kalangan kelompok lain, malah lebih membimbangkan boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap keadilan dan ketelusan proses pembuatan dasar.
Dalam konteks realiti demografi negara, majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu beragama Islam yang secara jelas menolak pengambilan minuman keras sebagai satu larangan agama.
Prinsip ini bukan sekadar kepercayaan peribadi, tetapi sebahagian daripada kerangka nilai yang membentuk pandangan hidup dan sensitiviti masyarakat majoriti.
Walaupun Islam tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan cara hidup mereka, garis sempadan yang jelas tetap wujud iaitu kebebasan tersebut tidak boleh sehingga menjejaskan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam.
Isu pemandu mabuk, dalam hal ini, adalah satu contoh nyata bagaimana kebebasan individu boleh bertembung dengan kepentingan awam.
Statistik kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol tidak besar, tetapi tetap membimbangkan kerana polemik yang timbul kesan daripadanya boleh menggugah keharmonian masyarakat di negara ini.
Lebih tragis, banyak insiden melibatkan kehilangan nyawa individu yang tidak bersalah mangsa yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perlakuan tersebut, namun menjadi korban akibat kecuaian orang lain.
Dalam situasi sebegini, pendekatan lunak atau hukuman ringan bukan sahaja tidak mencukupi, malah boleh ditafsir sebagai kegagalan sistem dalam melindungi rakyat.
Undang-undang yang tidak tegas akan membuka ruang kepada pengulangan kesalahan, kerana pelaku tidak merasakan wujudnya kesan pencegahan yang signifikan.
Lebih parah, ia menghantar isyarat yang salah kepada masyarakat, seolah-olah nyawa manusia boleh dipandang ringan dan kesalahan serius boleh ditebus dengan hukuman minimum. Peraturan lebih ketat perlu diperkenal, jangan sudah terhantuk berkali-kali, baru tengadah.
Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan mesej yang disampaikan jelas dan tidak berbelah bahagi. Keselamatan awam perlu diberi keutamaan tinggi.
Mana-mana individu yang melanggar prinsip ini mesti berdepan dengan tindakan yang setimpal. Ketegasan dalam penguatkuasaan bukanlah satu bentuk kezaliman, sebaliknya manifestasi keadilan yang melindungi kepentingan majoriti.
Dalam usaha merangka dasar yang tegas, prosesnya juga mesti inklusif. Setiap cadangan dasar, khususnya yang melibatkan isu sensitif seperti agama, budaya dan keselamatan awam, perlu melalui perbincangan menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Ini termasuk pakar, badan bukan kerajaan, wakil masyarakat serta agensi berkaitan. Pendekatan konsultatif ini penting bagi memastikan dasar yang digubal bukan sahaja berkesan, tetapi juga diterima oleh masyarakat secara meluas.
Mengabaikan pandangan kolektif dan memilih untuk berpaksikan suara minoriti atau pandangan terpencil adalah satu langkah yang berisiko tinggi.
Perkara itu bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan sosial, malah berpotensi meruntuhkan asas kepercayaan yang selama ini menjadi tunjang kepada kestabilan negara.
Dalam sebuah masyarakat majmuk, persepsi adalah realiti dan persepsi ketidakadilan boleh menjadi pencetus kepada perpecahan.
Tambahan pula, memberikan pengecualian atau kelonggaran terhadap perlakuan yang jelas bertentangan dengan norma masyarakat atas alasan kepelbagaian budaya adalah satu pendekatan yang tidak seimbang.
Kepelbagaian tidak boleh dijadikan justifikasi untuk mengabaikan prinsip asas keselamatan dan kesejahteraan awam. Toleransi mempunyai hadnya dan had tersebut ialah apabila sesuatu perlakuan mula memberi kesan negatif kepada masyarakat keseluruhan.
Kekuatan Malaysia terletak pada keupayaannya mengurus kepelbagaian dengan penuh hikmah dan keseimbangan. Oleh itu, setiap dasar yang ingin diperkenalkan mesti berteraskan prinsip kolektif, bersifat inklusif dan berpaksikan realiti masyarakat.
Ketegasan dalam mempertahankan nilai bersama, digabungkan dengan kepekaan terhadap kepelbagaian, adalah kunci kepada kelangsungan keharmonian negara.
Jika prinsip ini diabaikan, kita bukan sahaja berisiko menggugat kestabilan yang telah dibina sejak merdeka, malah membuka ruang kepada ketegangan yang sukar dipulihkan.
Maka, dalam menggubal sebarang peraturan, suara kolektif rakyat mesti dijadikan asas kerana di situlah terletaknya kekuatan sebenar Malaysia. – UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran ialah Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional.










