SHAH ALAM: Program pencegahan atau mitigasi banjir perlu bersesuaian dengan keadaan situasi perubahan iklim semasa selain bersifat proaktif dan jangka masa panjang dalam menangani masalah bencana itu dan kesannya kepada rakyat yang terjejas.
Malah, cuaca atau fenomena tertentu yang menjadi punca banjir tidak lagi wajar dijadikan alasan atau tanggapan apabila ia sepatutnya sudah pun dapat diatasi sebelum bencana melanda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jefri Mejan (PN-Ijok) berkata, ketika ini juga bukan masa yang sesuai untuk menyalahkan sesiapa termasuk menuding jari kepada alam yang dikatakan menjadi punca kejadian banjir di negeri ini.
Berita berkaitan:
“Banjir termenung. Air dari hulu seperti Petaling Jaya, Gombak dan Paya Jaras, akhirnya air itu masuk ke Sungai Buloh dan termenung di Ijok sebelum keluar ke muara Sungai Buloh.
“Kita lihat, sekarang air sepatutnya mengalir melalui sungai, tetapi rizab sungai kita sudah rosak. Jadi, adakah Pelabuhan Klang bersetuju dengan Ijok supaya rakyat tidak mahu lagi setiap kali hujan, kita menyalahkan fenomena luar jangka,” katanya pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.
Beliau mencelah ketika perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah oleh Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) yang menyentuh teguran baginda berkenaan pengurusan dan pencegahan bencana banjir.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap isu banjir di negeri ini apabila nasihat baginda kepada kerajaan negeri selama ini diibaratkan seperti ‘mencurah air ke daun keladi’.
Baginda bertitah, pernah menasihatkan kerajaan negeri supaya merujuk kepada pakar-pakar di luar negara terutama Belanda bagi mendapatkan idea terbaik dalam mengatasi masalah banjir di Selangor.
Tambah Jefri, kerajaan dicadang membaiki rizab sungai sebagai salah satu penyelesaian berasaskan alam semula jadi dengan memulihkan rizab di lembangan-lembangan secara menyeluruh.
Bagi Mohd. Razali Saari (PN-Sungai Panjang), masalah banjir termenung yang kerap melanda kawasannya terutama di Kampung Rancangan Tanah Belia 1, 2 dan Sabak Bernam dipercayai berpunca daripada aktiviti pembersihan Hutan Simpan Sungai Karang.
“Antara punca yang dikenal pasti dalam kawasan Sabak Bernam adalah Hutan Simpan Sungai Karang yang dijarah semahu-mahunya sehinggakan (ia bersambung dengan Hulu Selangor) kalau Hulu Selangor banjir, lepas itu barulah masuk ke Sungai Panjang dan Sabak Bernam,” tegasnya.
Bagi Wan Dzahanurin Bin Ahmad (PN-Sungai Kandis) pula, kejadian bah di Sungai Kandis ibarat ‘pesta’ yang kerap kali berlaku dan beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri menyediakan bantuan RM250 kepada mangsa pada setiap kali banjir kilat.
“Pelabuhan Klang pun sedia maklum sebab kami saling berhubung untuk turun membuka gate dekat kawasan Pelabuhan Klang untuk mengelakkan banjir di Sungai Kandis.
“Banjir di Sungai Kandis seolah-olah menjadi satu pesta, cuma apa yang penduduk minta one-off RM250 bantuan banjir bukan sekali banjir, biarlah mereka boleh menuntut sebab kesalahan itu bukan kerana kesalahan mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menghargai usaha oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor yang menyelenggara saliran, longkang serta parit menyebabkan situasi di sana 40 peratus lebih baik. – UTUSAN











