PASIR SALAK: Nasib menimpa Nurul Nadeera Mohd. Rizal, 6, yang menderita ketumbuhan pada pipi kanan mendapat simpati orang ramai yang menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembedahannya di Australia yang dianggarkan RM100,000.
Kisah kanak-kanak itu yang disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini turut mendapat perhatian Pegawai Khas Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun yang menyantuni keluarga itu kelmarin dan menyampaikan sumbangan peribadi.
Bapa kanak-kanak itu, Mohd. Rizal Abdul Aziz, 48, berkata, sejak kisah anak sulungnya daripada dua beradik itu disiarkan, ramai pihak menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan kesihatan Nurul Nadeera.
“Saya amat berterima kasih atas setiap sumbangan yang diberikan dan wang itu akan digunakan untuk kos pembedahan serta keperluan rawatan anak saya.
“Walaupun jumlahnya belum mencukupi, saya tetap bersyukur. Sumbangan sekecil RM1 pun amat bermakna dalam meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Khairul Azwan berkata, Nurul Nadeera menghidapi penyakit joint liphoma sejak dilahirkan dan tinggal di rumah sewa di Taman Desa KPMP Kampung Gajah di sini.
Beliau akan memanjangkan perkara itu kepada pihak berkenaan untuk membantu kanak-kanak itu dirujuk kepada pakar di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) bagi mendapatkan rawatan segera.-UTUSAN.










