Kerajaan negeri salur RM100,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas helikopter Sarawak

Kerajaan negeri salur RM100,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas helikopter Sarawak

ABANG JOHARI TUN OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri akan menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter Long Lellang, Miri pada Selasa. 

 

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut bersetuju agar kerajaan negeri menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak petugas yang terkorban dan masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.

 

Kerajaan negeri dalam kenyataan hari ini berkata, petugas berkenaan sedang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat ketika tragedi berlaku.

 

“Pemergian mereka merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga, rakan seperkhidmatan serta seluruh rakyat Sarawak.

 

“Jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat pedalaman, amat besar nilainya dan akan terus dikenang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Nahas kira-kira pukul 3.40 petang Selasa itu membabitkan sebuah helikopter yang membawa lima individu termasuk empat petugas perubatan sebelum dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Ulu Baram.

 

“Kerajaan Sarawak menzahirkan rasa duka cita yang amat mendalam serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan waris petugas FDS yang terkorban dalam nahas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×