Nahas helikopter: Ibu, bapa tunggu proses pengecaman barang peribadi Dr. Ainul

Nahas helikopter: Ibu, bapa tunggu proses pengecaman barang peribadi Dr. Ainul

KAMARUDIN Salleh menunjukkan gambar Dr. Ainul Baroah (dua kiri) ketika ditemui di Kampung Baung, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ibu dan bapa kepada Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, kini berada di Miri untuk menunggu proses pengumpulan dan pengecaman barangan peribadi anak mereka yang dilaporkan maut dalam nahas helikopter di Marudi, Sarawak, semalam.

Perkara tersebut disahkan oleh Mohd. Aidi Amin Ghani, 53, ahli keluarga terdekat kepada suami Ainul Baraah.

Dia berkata, proses tersebut melibatkan ahli keluarga terutamanya bapa, Kamarudin Salleh, 69, dan Rogayah Mohd. Noor, 69, di Hospital Miri.

“Kedua ibu dan bapa Ainul Baraah tiba di Miri kira-kira pukul 1 tengah hari tadi sebelum ditempatkan di sebuah hotel sementara menunggu proses pengecaman.

“Kami dimaklumkan, ahli keluarga yang pergi ke sana akan melakukan pengecaman terhadap barangan yang dipakai Ainul Baraah ketika kejadian seperti pakaian, barangan kemas atau jam tangan miliknya di Hospital Miri,” katanya.

Mohd. Aidi memberitahu, dia difahamkan kelima-lima jenazah mangsa termasuk Ainul Baraah masih berada di lokasi kejadian.

Utusan Malaysia, sebelum itu melaporkan, seorang juruterbang dan empat penumpang helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) disahkan maut selepas pesawat itu terhempas di Long Lellang STOLport petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter berkenaan disahkan meninggal dunia dalam nahas kira-kira pukul 3.40 petang itu.

“Malangnya, kesemua lima orang di dalam pesawat telah meninggal dunia seperti yang disahkan menerusi laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×