TUMPAT: Seorang warga emas yang menjadi mangsa kebakaran memutuskan menangguhkan hasrat menunaikan haji selepas isterinya, Sha’adah Muhammad, 57, meninggal dunia akibat melecur dalam kejadian di Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor, di sini, bulan lalu.
Mazelan Daud, 64, berkata, penangguhan itu sudah dimaklumkan kepada pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk tindakan lanjut.
“Beberapa hari lalu saya menerima panggilan daripada pihak TH dan memaklumkan hasrat tangguhkan Rukun Islam kelima itu kerana masalah kesihatan kesan kebakaran tersebut.
“Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Jika ada rezeki dan diberikan kesihatan yang baik tahun depan, insya-Allah saya akan menunaikan haji,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mazelan berkata, dia masih trauma dengan kejadian kebakaran itu yang meragut nyawa isterinya.
“Saya masih sedih dengan kehilangan isteri tetapi perlu kuatkan semangat. Semuanya ketentuan Ilahi, sepatutnya saya berangkat ke tanah suci pada 26 April ini bersama arwah isteri tetapi dia telah meninggalkan saya buat selama-lamanya,” ujarnya.
Menurutnya, anaknya, Fariesya Syaila, 15, yang melecur selepas disambar api dalam kejadian berkenaan di bahagian muka sudah pulih sepenuhnya.
“Cuma luka di bahagian kaki belum kering sepenuhnya. Dia masih perlu mendapat rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Insya-Allah, dia kembali ke sekolah minggu depan selepas 16 hari cuti sakit,” ujarnya. –UTUSAN











