SUNGAI PETANI: Dua orang anggota tentera berpangkat koperal masing-masing didenda sebanyak RM2,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana mencederakan dua rakan setugas mereka, awal bulan lalu
Kedua-dua mereka, Mohamad Izzuddin Ahmad, 27, dan Muhamad Amir Irfan Mohd Ridzuan, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Di hadapan Muhammad Syaiful, kedua-dua mereka mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki berusia 25 tahun di bilik penginapan bujang Batalion 165 Risik, Kem Lapangan Terbang Sungai Layar, di sini antara pukul 10.05 malam hingga 11.50 malam, 5 Mac lalu.
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM700 kepada setiap seorang dan jika mereka gagal bayar boleh dipenjara selama 14 hari.
Di hadapan Mohamad Azlan pula, kedua-dua koperal itu mengaku bersalah mencederakan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun di lokasi serta pada masa dan tarikh yang sama.
Mahkamah menjatuhi hukuman denda RM1,500 ke atas setiap mereka dan jika gagal membayar denda tersebut mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan.
Pertuduhan terhadap kedua-dua anggota tentera itu dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam Chong Sen Ming yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman denda yang minimum berikutan kedua-dua anggota tentera itu masih bujang, berpendapatan rendah dan perlu menyara ibu bapa masing-masing.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan Nur Hazwani Md Noor memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dan mengelak kejadian sama berulang.
Sebelum ini, akhbar melaporkan dua anggota tentera berpangkat koperal dari sebuah kem, di sini ditahan reman bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan terhadap dua anggota lain. – UTUSAN










