TEHERAN: Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran memaklumkan negara itu sedang meneliti ‘cadangan baharu’ yang diterima daripada Amerika Syarikat (AS), namun memberi amaran pihak perundingnya tidak akan berkompromi dengan Washington.
“Sejak beberapa hari lalu, dengan kehadiran ketua tentera Pakistan di Teheran sebagai perantara dan pengantara dalam rundingan, cadangan baharu telah dikemukakan oleh pihak AS, yang kini sedang diteliti oleh Republik Islam Iran dan masih belum diberikan sebarang maklum balas,” menurut kenyataan majlis itu yang disiarkan media negara.
Ia menegaskan, delegasi perunding Iran tidak akan membuat sebarang kompromi, berundur atau bertolak ansur walau sedikit pun dan akan mempertahankan kepentingan rakyat Iran dengan sepenuh kekuatan.
Pakistan muncul sebagai perantara utama antara kedua-dua pihak dan sebelum ini menjadi tuan rumah rundingan awal minggu lalu yang berakhir tanpa persetujuan.
Pendedahan mengenai cadangan baharu itu dibuat beberapa jam selepas Iran mengumumkan penguatkuasaan semula penutupan Selat Hormuz susulan sekatan berterusan AS terhadap pelabuhannya, yang turut mencetuskan amaran daripada Presiden AS, Donald Trump supaya tidak cuba ‘memeras ugut’ Washington.
Majlis itu berkata, Iran bertekad untuk menguatkuasakan pemantauan dan kawalan terhadap trafik di Selat Hormuz sehingga perang benar-benar berakhir, sambil menegaskan sekatan AS menghalang sebarang pembukaan semula bersyarat dan terhad.
Menurutnya, pembukaan semula sedemikian akan melibatkan Teheran mengeluarkan sijil transit kepada kapal-kapal, selain mengenakan bayaran berkaitan perkhidmatan keselamatan, perlindungan dan alam sekitar.-AFP










