SHAH ALAM: Kesesakan lalu lintas Lebuhraya Persekutuan di persimpangan berlampu isyarat Bukit Raja di sini, didakwa kritikal dan dilabel ‘F’ dalam aliran kelancaran trafik yang memerlukan penyuraian melalui Seksyen 4 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Salah satu persimpangan yang terkenal dengan julukan ‘traffic light 199’ itu didakwa kerap mengalami kesesakan terutama pada waktu puncak apabila ia menjadi satu-satunya laluan utama yang menghubungkan Shah Alam dengan Setia Alam, Meru dan Kapar, Klang.
Malah, ia turut dipengaruhi jumlah kenderaan yang melalui Lebuhraya Persekutuan sekitar 250,000 unit sementara di Lebuhraya Selat Klang sehingga 120,000 unit.
Manakala pada waktu puncak di sebelah pagi dan petang pula, kedua-dua lebuh raya itu mencatatkan aliran trafik 8,000 hingga 15,000 kenderaan sejam.
Penganalisis trafik, Norashimah Yahaya berkata, persimpangan tersebut menjadi punca kesesakan bagi kedua-dua arah di kedua-dua lebuh raya tersebut terutama pada waktu puncak.
“Keadaan laluan di Lebuhraya Selat Klang menghala ke susur Lebuhraya Persekutuan adalah daripada empat lorong kepada dua lorong, kemudian satu sebelum merge dengan Lebuhraya Persekutuan. Pada waktu puncak di situ memang terlalu sesak. Begitu juga bagi laluan dari arah Shah Alam ke Bukit Raja atau Bandar Baru Klang.
“Di situ tahap kesesakannya ‘F’ maksudnya gagal. Lagi pun saya dapati tiada sebarang cadangan lain penyuraian kesesakannya kecuali melalui WCE. Sedangkan di Shah Alam, semua persimpangan yang bermasalah masing-masing ada cadangan,” katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, WCE mencadangkan pembukaan pusingan U sebahagian sepanjang 4.5 kilometer (km) Seksyen 4 jajaran lebuh raya tersebut sebagai langkah bagi melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan sedia ada terutama di Bukit Raja.
Cadangan tersebut merupakan penyelesaian interim bagi membantu pengguna mendapatkan akses lebih mudah bagi pengguna yang menuju ke Bandar Klang atau Meru dan Kapar serta bahagian utara negeri ini tanpa perlu menempuh kesesakan di persimpangan lampu isyarat sedia ada.
Tempoh perjalanan pula dijangka dapat disingkatkan kurang dari 10 minit berbanding lebih 20 minit bagi pengguna melalui pusingan U itu yang disediakan bagi kenderaan ringan dan perdagangan.
Selain meningkatkan keselamatan, aliran di laluan baharu itu dijangka mempercepat pergerakan kenderaan berat harian terus ke Pelabuhan Klang, selain meningkatkan kecekapan operasi menerusi pengurangan penggunaan bahan api dan kos bagi pengangkutan dan komersial.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Haulier Malaysia (AMH), Mohamad Azuan Masud memberitahu, kesesakan di kedua-dua bahagian di Lebuhraya Selat Klang dan Persekutuan itu melebihi dua kilometer (km) yang memakan masa kira-kira setengah jam.
“Ahli-ahli pemandu lori memaklumkan kelegaan apabila WCE mengumumkan pembukaan kemudahan pusingan U di Seksyen 4 lebuh raya tersebut kerana turut disediakan laluan bagi kenderaan berat.
“Ia amat memudahkan bagi kenderaan berat yang hendak ke utara, tanpa perlu terperangkap dalam kesesakan di traffic light 199. Tak mengapalah ada tol, kita bayar, sekurang-kurangnya pengguna ada pilihan,” ujarnya. – UTUSAN










