Potong gaji Menteri

Potong gaji Menteri

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan meneli­ti cadangan pemotongan gaji men­teri sekiranya ke­adaan eko­nomi negara me­runcing susu­lan krisis tenaga glo­bal yang mem­beri kesan kepada kos sara hi­dup dan kewa­ngan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gaji menteri di negara ini relatif rendah dan masih munasabah selagi mereka menjalankan tugas de­ngan baik.

Malah beliau sendiri tiada masalah berhu­bung perkara itu kerana tidak mengambil gaji.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagiamanapun katanya, keutamaan kerajaan ketika ini bukan terhadap isu pemotongan gaji, sebaliknya memas­tikan ­pres­tasi kerja anggota pen­tadbiran berada pada tahap terbaik dalam memberi perkhid­matan kepada rakyat.

“Gaji kita relatif memang rendah. Yang penting mereka bekerja dengan baik. Macam saya, saya tidak ada masalah, saya tidak ambil gaji, tetapi gaji itu hak mereka selagi mereka bekerja dengan baik, saya fikir munasabah,” katanya ketika ditanya sama ada Kerajaan akan meneliti cadangan pemo­tongan gaji menteri, seperti yang dilaksanakan di Indonesia, selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini semalam.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya berkata, kerajaan negara itu akan membincangkan cada­ngan memotong gaji menterinya sebagai sebahagian daripada usaha kecekapan belanjawan.

Mengulas cadangan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah supaya status bebas cukai di Langkawi dikembalikan bagi merancakkan semula sektor pelancongan di pulau itu, Anwar berkata, cadangan itu wajar diberi perhatian kerana pelanco­ngan di Langkawi sedikit suram sehingga menjejaskan daya tarikan kepada pelancong domestik.

“Kita akan teliti, satu cada­ngan yang harus diberikan perhatian kerana kedudukan pelancongan di Langkawi itu malap sedikit.

“Saya minta Menteri Kewa­ngan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melihat keseluruhannya di mana boleh dibantu semula kerana kos di Langkawi sudah agak tinggi,” katanya.

Katanya, perkara tersebut sebenarnya telah pun dibincangkan sebelum ini, namun perlu diteliti secara menyeluruh berikutan terdapat pelbagai permintaan lain yang turut perlu dipertimbangkan kerajaan.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Kedah atas cadangan tersebut dan memberi jaminan kerajaan akan meneliti langkah terbaik demi memulihkan ekonomi pelancongan Langkawi.

Mengenai dakwaan kononnya Malaysia bercadang menjual minyak kepada negara lain, Anwar berkata, perkara itu tidak benar kerana kerajaan memberi keutamaan kepada keperluan domestik.

Malaysia ketika ini memerlukan bahan tertentu seperti fosfat daripada rakan dagang termasuk Australia, manakala negara ber­kenaan pula memerlukan bekalan seperti urea.

“Isunya adalah keperluan bersama. Mereka perlukan urea, kita perlukan fosfat. Soal diesel pula, kita tidak mampu bekalkan kerana keutamaan adalah kepada rakyat. Jika ada lebihan, kita boleh pertimbangkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, perbincangan dengan Perdana Menteri Austra­lia berhubung keperluan strategik kedua-dua negara dilaksanakan selain menolak tohmahan tidak berasas berkaitan urus niaga minyak.

“Saya mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan Malaysia menyertai sidang khas global berkaitan isu sekatan di Selat Hormuz yang akan dianjurkan Perancis – United Kingdom (UK) malam ini (semalam) yang turut disertai Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

“Bagaimanapun kita tak boleh menafikan hak Iran dan kegelisahan kita kerana tindakan Israel dan Amerika ke atas Iran selama ini. Jadi kita mengambil sikap lebih adil dan bebas,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri, turut me­ngesahkan sebuah daripada lima kapal tangki milik negara yang masih ‘terkandas’ di Selat Hormuz mengalami kerosakan di pelabuhan.

Baki empat lagi kapal masih dipantau susulan perkembangan terkini termasuk sekatan keluar oleh Amerika Syarikat (AS).

Anwar berkata, salah sebuah daripada dua buah kapal milik negara yang berjaya ‘keluar’ dari Selat Hormuz, telah tiba di tanah air semalam manakala, sebuah lagi hampir memasuki perairan negara.

Sebelum ini, kerajaan Iran telah memberi kelulusan berlepas kepada tujuh kapal tangki milik negara itu namun, perkembangan terbaharu di Selat Hormuz menimbulkan sedikit masalah.

Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) memaklumkan bahawa hampir 20,000 pelaut dan kira-kira 2,000 kapal terkandas di Selat Hormuz.

IMO dilaporkan berkata, pihaknya menyiapkan pelan kecemasan bagi memindahkan hampir 20,000 pelaut dan sekitar 2,000 kapal yang terkandas di Selat Hormuz.

AS kenakan sekatan ketenteraan di Selat Hormuz selepas Iran menghalang perkapalan sepanjang lebih enam minggu peperangan dalam konflik yang kini dihentikan sementara susulan gencatan senjata selama dua minggu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini