PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberi tumpuan kepada pemerkasaan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing serta berupaya menangani cabaran pasaran minyak sayuran global.
Ketua Pengarah MPOB, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ketidakstabilan geopolitik khususnya di Asia Barat memberi kesan rantaian kepada pelbagai sektor termasuk pasaran minyak dan lemak global.
Katanya, keadaan itu menuntut pendekatan lebih strategik serta berasaskan sains dalam memperkukuh industri.
“Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) berperanan penting dalam menyelaras hala tuju R&D MPOB agar selari dengan keperluan industri dan perkembangan global.
“Pendekatan ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai sawit daripada huluan hingga hiliran, dengan penekanan kepada inovasi, aplikasi teknologi serta impak sosioekonomi,” katanya pada perasmian Mesyuarat PAC.
Mesyuarat PAC MPOB 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin turut membincangkan pendekatan R&D strategik MPOB bagi menyelaras inisiatif serta memperkasa daya saing industri sawit negara.
Inisiatif itu selari dengan mandat kerajaan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).
Antara pelaksanaan di bawah DAKN2030 termasuk pensijilan mandatori Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0) serta program penanaman semula kelapa sawit melibatkan pekebun kecil dengan peruntukan kira-kira RM171 juta.
Selain itu, ia turut merangkumi pembangunan bahan api penerbangan mampan serta pemerkasaan integrasi teknologi automasi melalui kecerdasan buatan (AI) dan dron.
Beliau berkata, PAC yang dianggotai saintis dan pakar industri sawit serta minyak sayuran global memberi penekanan kepada strategi meningkatkan produktiviti dan hasil sawit.
Menurutnya, usaha itu termasuk menangani ancaman penyakit seperti Ganoderma serta memperkukuh pembangunan bahan tanaman berprestasi tinggi melalui teknologi genomik terkini.
“Dalam masa sama, aspek kemampanan terus menjadi keutamaan, khususnya dalam memenuhi keperluan pematuhan piawaian antarabangsa.
“Ia termasuk Peraturan Bebas Penyahhutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menuntut rantaian bekalan bebas penebangan hutan serta tahap kebolehkesanan tinggi.
“Industri sawit juga berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam agenda peralihan tenaga melalui penggunaan adunan biodiesel.
“Selain itu, industri ini menyumbang kepada keterjaminan makanan global sebagai tanaman minyak sayuran paling efisien dari segi hasil per hektar,” katanya.
Ahli PAC MPOB terdiri daripada penggiat industri, penyelidik serta ahli akademik dari dalam dan luar negara yang mempunyai kepakaran merangkumi sektor huluan hingga hiliran, teknoekonomi dan perdagangan antarabangsa.
Dalam pada itu, MPOB merangka enam bidang utama penyelidikan selari dengan keperluan industri iaitu prestasi hasil, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, pengilangan, pemprosesan dan mekanisasi serta.
Selain itu, ia termasuk keselamatan makanan dan pemakanan, nilai tambah, serta tekno dan sosioekonomi. – UTUSAN











