Subang hidung sangkut dalam paru-paru punca wanita batuk sebulan - Utusan Malaysia

Subang hidung sangkut dalam paru-paru punca wanita batuk sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Seorang wanita warga Mexico berusia 26 tahun terkejut besar selepas mendapati batuk berlarutan yang dialaminya berpunca daripada sebentuk subang hidung yang tersangkut di dalam paru-paru.

Monica Deyanira Cabrera Barajas mula mengalami masalah batuk berlarutan selama kira-kira sebulan sebelum memutuskan untuk mendapatkan rawatan doktor.

Walaupun menjangkakan keputusan pemeriksaan sinar-X (X-ray) akan mendedahkan masalah kesihatan, dia sama sekali tidak menyangka akan menemukan perhiasan hidung miliknya di dalam organ tersebut.

Menerusi video di aplikasi TikTok yang meraih jutaan tontonan, Deyanira menjelaskan bahawa pada mulanya dia tidak menyedari subang hidung jenis ‘septum’ miliknya telah hilang. Malah, apabila menyedari ketiadaan perhiasan itu, dia tidak pernah terlintas di fikiran bahawa dia telah tersedut objek berkenaan secara tidak sengaja.

“Satu-satunya teori yang saya ada, yang turut saya maklumkan kepada pakar pulmonologi, adalah saya tertidur sebelum bola kecil (penghujung subang) tertanggal. Saya sedang baring terlentang, saya tidak sedar dan begitulah segalanya bermula,” katanya kepada portal creatorzine.com.

Kejutan awal Deyanira bertukar menjadi kebimbangan terhadap nyawanya apabila doktor memaklumkan barbel logam bulat itu hanya berada 0.5 milimeter daripada aortanya.

Dia dijadualkan untuk pembedahan kecemasan, namun prosedur yang sepatutnya mengambil masa 20 minit itu berlanjutan sehingga hampir sejam setengah dan berakhir dengan kegagalan.

“Ia mengambil masa satu jam 20 minit dan mereka masih tidak dapat mengeluarkannya kerana objek itu telah melekat pada badan saya,” kata wanita itu sambil menambah bahawa dia perlu menjalani prosedur kedua yang lebih rumit untuk mengeluarkan perhiasan tersebut.

Deyanira akhirnya menarik nafas lega apabila prosedur kedua itu berjaya, namun doktor menegaskan bahawa dia sangat bertuah kerana masih hidup

Menurut pakar perubatan, jika perhiasan logam itu menusuk paru-paru atau saluran darah terbesarnya, dia berkemungkinan besar akan maut akibat paru-paru kempis atau aorta yang bocor.

Mengenai bagaimana perhiasan tersebut boleh beralih dari hidung ke paru-paru, wanita muda itu percaya salah satu penyumbat logam pada hujung subang tersebut telah tertanggal, menyebabkan subang itu jatuh ke dalam kerongkong semasa dia tidur terlentang sebelum tersedut ke dalam saluran pernafasan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×