BANGKOK: Sekurang-kurangnya 250 pelarian Rohingya dan warga Bangladesh dilaporkan hilang selepas sebuah bot karam di Laut Andaman, menurut kenyataan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, bot yang sarat dengan lelaki, wanita dan kanak-kanak itu dipercayai karam akibat angin kencang, laut bergelora serta lebihan muatan.
Akibat penganiayaan di Myanmar, ribuan etnik Rohingya mempertaruhkan nyawa setiap tahun untuk melarikan diri daripada penindasan dan perang saudara, menggunakan bot kayu yang tidak kukuh untuk mengharungi lautan.
Pasukan Pengawal Pantai Bangladesh (BCG) melaporkan sebuah kapalnya yang dalam perjalanan ke Indonesia berjaya menyelamatkan sembilan mangsa, termasuk seorang wanita pada 9 April lalu, lapor agensi berita AFP.
Jurucakap BCG, Leftenan Komander Sabbir Alam Sujan berkata, kapal tersebut mengesan beberapa individu terapung di laut menggunakan tong dan kayu balak sebelum menyelamatkan mereka di kawasan perairan dalam.
Menurut agensi berita Anadolu, daripada sembilan individu yang diselamatkan, enam daripadanya disyaki sebagai penyeludup manusia dan kini ditahan oleh pihak polis.
Seorang mangsa yang terselamat, Rafiqul Islam mendedahkan, dia diperdaya untuk menaiki bot tersebut oleh ejen penyeludup yang menjanjikan peluang pekerjaan di Malaysia.
“Ramai antara kami dikurung di bahagian ruang simpanan pukat tunda, malah ada yang maut di situ. Saya mengalami kecederaan melecur akibat tumpahan minyak daripada enjin bot,” katanya sambil menambah bahawa bot berkenaan telah belayar selama empat hari sebelum karam.
“Kami terapung selama hampir 36 jam sebelum diselamatkan. Kira-kira 25 hingga 30 orang maut akibat sesak nafas dan keadaan bot yang terlalu padat,” tambahnya lagi.
UNHCR menyifatkan insiden itu mencerminkan kesan ngeri daripada pemindahan yang berlarutan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang bagi etnik Rohingya.
Laut Andaman merentangi sepanjang pantai barat Myanmar, Thailand dan Semenanjung Malaysia. Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi etnik Rohingya memandangkan ia merupakan negara majoriti Muslim dan mempunyai komuniti diaspora Rohingya yang besar.
Pada tahun 2017, angkatan tentera Myanmar melancarkan serangan yang memaksa sekurang-kurangnya 730,000 etnik Rohingya melarikan diri dari kediaman mereka ke negara jiran, Bangladesh dengan laporan mengenai pembunuhan, rogol beramai-ramai, dan pembakaran harta benda secara besar-besaran.- AL JAZEERA










