WASHINGTON: Rundingan bagi menamatkan peperangan dengan Iran dijangka bersambung semula di Pakistan dalam tempoh dua hari akan datang, menurut kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam.
Perkembangan ini susulan kegagalan rundingan pada hujung minggu lalu yang mendorong Washington mengenakan sekatan pelabuhan terhadap Iran.
Pegawai dari Teluk, Pakistan dan Iran turut mengesahkan pasukan perunding dari kedua-dua negara berkemungkinan kembali ke Pakistan lewat minggu ini, walaupun sumber kanan Iran menyatakan tarikh rasmi masih belum ditetapkan.
“Anda sepatutnya berada di sana, kerana sesuatu mungkin berlaku dalam tempoh dua hari ini, dan kami lebih cenderung untuk ke sana,” kata Trump dalam satu temu bual dengan New York Post.
Walaupun tindakan sekatan pelabuhan oleh AS mengundang kemarahan Teheran, petanda usaha diplomatik akan diteruskan membantu menstabilkan pasaran minyak, sekali gus menyaksikan harga penanda aras jatuh di bawah AS$100 (RM394.5) pada Selasa.
Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz, laluan air global yang penting bagi pengangkutan minyak dan gas, sejak peperangan bermula pada 28 Februari lalu. Dianggarkan kira-kira 5,000 nyawa terkorban dalam konflik berkenaan.
Rundingan di Islamabad hujung minggu lalu gagal mencapai kata sepakat, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kelangsungan gencatan senjata selama dua minggu yang kini hanya berbaki seminggu lagi.
Isu cita-cita nuklear Iran kekal menjadi titik buntu utama. AS mencadangkan penggantungan selama 20 tahun bagi semua aktiviti nuklear Iran, manakala Tehran mencadangkan tempoh hanya tiga hingga lima tahun. Selain itu, AS turut mendesak agar sebarang bahan nuklear yang diperkaya dikeluarkan dari negara tersebut.
Bagaimanapun, sumber yang terlibat dalam rundingan di Pakistan memaklumkan bahawa perbincangan melalui saluran belakang sejak hujung minggu lalu menunjukkan kemajuan dalam merapatkan jurang perbezaan tersebut, membawa kedua-dua pihak lebih dekat kepada satu perjanjian yang mungkin dikemukakan dalam pusingan rundingan baharu.
Dalam pada itu, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan tiada kapal yang berjaya melepasi sekatan pelabuhan Iran dalam tempoh 24 jam pertama ia dilaksanakan, manakala enam kapal dagang terpaksa berpatah balik.
CENTCOM menyatakan lebih daripada 12 kapal perang AS terlibat dalam sekatan tersebut, yang hanya terpakai kepada kapal-kapal yang menuju ke atau datang dari Iran.- AGENSI










