Generasi al-Quran benteng kekuatan ummah

Generasi al-Quran benteng kekuatan ummah

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Generasi yang menghayati al-Quran bukan sahaja mampu membaca dan menghafal malah menjadikan kitab suci itu sebagai sumber kekuatan serta keberkatan dalam kehidupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam ketika ini berdepan pelbagai kepincangan dan kegawatan yang semakin rumit khususnya susulan konflik berpanjangan melibatkan Gaza yang merebak ke Lubnan dan Iran.

“Serangan oleh Zionis Israel dan sekutunya bukan perkara baharu, malah telah berlarutan lebih sedekad. Namun, usaha perdamaian belum menemukan titik noktah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, di sini, malam ini.

Anwar berkata, pengalaman negara seperti Iran menunjukkan bahawa persiapan dalam bidang ilmu dan teknologi amat kritikal dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk keupayaan mempertahan diri.

“Jika dahulu serangan tidak mampu dibalas, kini kita melihat semangat juang disertai kekuatan teknologi dan kecanggihan yang semakin terserlah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk melahirkan generasi yang menguasai pelbagai bidang ilmu termasuk kecerdasan buatan (AI) tanpa meninggalkan landasan al-Quran sebagai panduan utama.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana terus mempelopori usaha melahirkan generasi huffaz yang turut menguasai bidang sains dan teknologi.

“Dalam sistem pendidikan Kerajaan Madani, kita mahu generasi yang seimbang dengan menguasai ilmu dunia dan akhirat, berteraskan akidah dan sahsiah yang kukuh,” katanya.

Menurutnya, kekuatan ummah perlu dibina secara menyeluruh, bukan sahaja melalui hubungan antarabangsa termasuk dengan negara Teluk tetapi menerusi pembinaan dalaman yang berasaskan ilmu dan nilai.

“Jika kita mahu mempertahan Islam pada hari ini, ia perlu disertai dengan ilmu dan teknologi baharu. Kepincangan yang berlaku seharusnya menginsafkan kita untuk bangkit dengan pemikiran baharu,” katanya.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran edisi ke 68 itu menghimpunkan seramai 108 peserta dari seluruh negara, melibatkan 28 peserta tilawah (14 qari dan 14 qariah) serta 80 peserta hafazan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×