Jualan Slim Chickens naik 30% selepas sijil halal

Jualan Slim Chickens naik 30% selepas sijil halal

AMIRUL Ashraf Ravi (kiri) bersama Pengarah Pemasaran Slim Chickens Malaysia, Shuen Chiu ketika pembukaan kedua cawangan tersebut di NU sentral baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Slim Chickens Malaysia mencatatkan lonjakan jualan sebanyak 30 peratus selepas memperoleh sijil halal, sekali gus membuktikan kepercayaan tinggi pengguna terhadap integriti dan kualiti penyediaan makanan jenama tersebut.

Pengurus Halal, Rantaian Bekalan dan Jaminan Kualitinya, Amirul Ashraf Ravi berkata, pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menjadi pemacu utama kepada prestasi perniagaan syarikat sejak mula bertapak di negara ini pada Jun 2025.

Menurut beliau, sebaik sahaja status halal diumumkan, keresahan pelanggan mengenai status produk berakhir dan digantikan dengan penerimaan yang sangat memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Impaknya sangat signifikan. Jualan kami meningkat 30 peratus sejurus selepas memperoleh sijil halal pertama pada Disember tahun lalu. Kami melihat halal bukan sekadar kepatuhan agama, tetapi satu standard kebersihan dan kualiti yang memberi keyakinan kepada semua pelanggan, termasuk bukan Muslim.

“Bagi kami, sijil halal adalah ‘lesen’ untuk kami terus berkembang. Malah, setiap cawangan baharu yang dibuka selepas ini disasarkan untuk memperoleh sijil halal dalam tempoh empat bulan pertama operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Slim Chickens yang kini beroperasi di SS15, Subang Jaya merancang untuk membuka sekurang-kurangnya lima cawangan setahun dengan sasaran keseluruhan 30 cawangan dalam tempoh sedekad.

Dalam pada itu, Amirul Ashraf berkata, sebagai pemegang francais induk bagi Asia Tenggara, pihaknya memikul tanggungjawab besar dalam memastikan rantaian bekalan dari Amerika Syarikat (AS) diubah suai mengikut piawaian tempatan tanpa menjejaskan kualiti asal.

“Antara cabaran utama adalah mencari pengganti bahan mentah yang halal seperti bacon. Kami melakukan penyelidikan mendalam untuk memastikan alternatif yang digunakan setanding dengan standard global Slim Chickens namun tetap patuh syariat sepenuhnya.

“Komitmen ini penting kerana kami mahu menjadikan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan halal untuk pengembangan syarikat ke Singapura dan Brunei,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×