SEORANG lelaki warga emas berusia 90 tahun dari Kaifeng memilih mengayuh basikal merentas ribuan kilometer selama hampir tiga dekad tanpa henti bagi mengubati luka kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi menyayat hati.
Zhang Zhongyi yang berasal dari wilayah Henan dilaporkan masih cergas, petah berbicara dan sentiasa tersenyum meskipun usianya yang lanjut.
Kisahnya Zhongyi mendapat perhatian meluas selepas seorang wanita, Bai Xiaobai yang menemuinya di Putian di wilayah Fujian membantu menolak basikal roda tiganya itu. Dalam perbualan mereka berkongsi kisah duka yang mengubah hidupnya.
Pada 1990-an, anak lelaki, menantu perempuan dan cucunya yang berusia lapan tahun terkorban dalam kemalangan jalan raya. Isterinya pula meninggal dunia selepas jatuh sakit setahun kemudian kerana tidak dapat menahan kesedihan.
Selepas kehilangan seluruh keluarga dalam tempoh dua tahun, warga emas itu meninggalkan kampung halamannya dan memilih kehidupan mengembara di jalanan.
Basikal tua yang digunakan pada awalnya kemudian digantikan dengan basikal roda tiga dan sepanjang hampir 30 tahun, dia mengembara seorang diri merentasi lebuh raya, gunung, tasik, gurun serta bandar.
Perjalanan itu membawanya dari wilayah Xinjiang dan Gansu di barat laut ke Shanghai dan Zhejiang di timur, serta sejauh Xiamen dan Quanzhou di selatan, sebelum tiba di Fujian pada Januari lalu.
Menurut Zhongyi, dia keluar dari kampung halaman kerana tidak mahu mengingati kembali kenangan lama, sebaliknya mahu mencari ketenangan melalui pengembaraan.
“Saya sudah melupakan masa lalu. Kini saya mahu menghabiskan sisa hidup dengan mengembara dan menikmati keindahan alam,” katanya.
Menurut laporan media tempatan, ingatan Zhongyi semakin merosot dan dia tidak lagi mengingati alamat rumahnya dengan tepat.
Namun, lelaki tua itu tetap berpegang pada kepercayaan untuk mencari laluan lebuh raya utama, yakin tidak akan sesat walaupun tanpa peta.
Sepanjang perjalanan, Zhongyi bergantung kepada kebaikan orang ramai, termasuk penduduk tempatan dan penunggang basikal lain yang membantu menyediakan makanan, pakaian dan menunjukkan arah.
Ketika berada di Putian, Xiaobai sering melawatnya setiap hari, membawanya bersarapan, meraikan hari lahirnya serta bermain catur Cina bersama.
Wanita itu juga membelikannya telefon bimbit dan mengajarnya cara menggunakannya agar mereka dapat terus berhubung.
Sebagai balasan, Zhongyi berkongsi kisah sejarah dan adat dari Henan yang kekal dalam ingatannya, walaupun dia hanya berpendidikan sekolah rendah.
Xiaobai turut melancarkan inisiatif ‘rantaian kebaikan’ dalam kalangan masyarakat setempat bagi menggalakkan orang ramai membantu Zhongyi sekiranya terserempak dengannya.
Seorang sukarelawan pernah menawarkan untuk menyewakan rumah supaya warga emas itu dapat menjalani hari tua dengan lebih selesa, namun dia menolak.
“Saya bukan melakukannya untuk mengemis. Ini adalah kehidupan baharu yang saya pilih,” katanya.
Walaupun menerima bantuan, Zhongyi cuba membalas jasa dengan caranya sendiri apabila basikal roda tiganya dipenuhi poster individu hilang.
Pada Mac lalu, pengguna media sosial menjejakinya di Fuzhou, di mana dia menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman.
Menurut laporan media, Zhongyi merancang untuk meneruskan perjalanan ke Gunung Wuyi sebelum akhirnya kembali ke Kaifeng.
Pihak berkuasa di Kaifeng memaklumkan dia layak menerima bantuan warga emas serta sokongan kerajaan tempatan apabila pulang kelak.
Kisah Zhongyi yang gigih merantau jauh dan enggan meratap walaupun tinggal sebatang kara menyentuh hati ramai pengguna media sosial di tanah besar China.
“Menukar kesedihan menjadi kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan menjadikan Atok Zhongyi sangat luar biasa. Kesusahan tidak membuatkan dia berputus asa. Perjalanan panjang ini adalah penghormatan paling istimewa untuk dirinya,” kata seorang warganet.-UTUSAN










