GENEVA: Lubnan sedang berdepan krisis keselamatan makanan susulan gangguan bekalan barangan akibat perang Iran, menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) semalam.
Situasi turut diperburuk apabila gencatan senjata rapuh selama dua minggu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menunjukkan tanda-tanda semakin tegang, sehari sebelum kedua-dua pihak dijadual mengadakan rundingan di Pakistan.
Washington menuduh Teheran melanggar janji berkaitan Selat Hormuz, manakala Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan yang menurut Iran mencabuli gencatan senjata berkenaan.
Pengarah Negara WFP, Allison Oman berkata, krisis yang berlaku kini bukan lagi sekadar melibatkan pemindahan penduduk, sebaliknya semakin berkembang menjadi krisis keselamatan makanan.
“Apa yang kita saksikan bukan sekadar krisis pemindahan penduduk, tetapi ia dengan pantas menjadi krisis keselamatan makanan,” katanya melalui pautan video dari Beirut.
Beliau memberi amaran makanan semakin tidak mampu dibeli berikutan kenaikan harga makanan serta peningkatan permintaan dalam kalangan keluarga yang dipindahkan.
Menurut Oman, Lubnan kini berdepan krisis dua lapisan, apabila sebahagian pasaran runtuh sepenuhnya, khususnya di selatan, di mana lebih 80 peratus pasaran tidak lagi berfungsi, manakala pasaran di Beirut pula semakin tertekan.
Tambahnya, ramai peniaga melaporkan baki bekalan makanan asas yang tinggal kurang daripada seminggu.
Keupayaan untuk menyalurkan bantuan makanan ke kawasan sukar diakses di selatan, yang berdepan pengeboman hebat oleh serangan udara Israel sejak 2 Mac, semakin merosot.
Konvoi WFP yang memasuki kawasan selatan minggu ini mengambil masa lebih 15 jam, sedangkan perjalanan itu kebiasaannya hanya mengambil beberapa jam sahaja.- AGENSI










