Masyarakat terpedaya apabila naratif diputar

Masyarakat terpedaya apabila naratif diputar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 7 April baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, anjuran Institut Kajian Strategik & Antarabangsa  Malaysia (ISIS) dan Yayasan untuk Kajian Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) dari Turkiye.

Dialog ini menjadi pentas perbincangan dengan matlamat memupuk kerjasama berterusan dalam bidang diplomasi, pertahanan dan keselamatan, perdagangan, teknologi serta pertukaran budaya dan pendidikan.

Banyak perkara penting yang dikupas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptama beliau dan seterusnya semasa sesi perbincangan bersama perdana menteri itu, khasnya berkaitan isu perang yang sedang berlangsung di Asia Barat.

Menurut Perdana Menteri, penyalahgunaan kuasa berlaku apabila perasaan sesal dipisahkan daripadanya dan apabila kuasa dipegang tanpa kata hati, maka keteraturan tidak dapat ditegakkan. Inilah yang menyebabkan ketidakstabilan, perbalahan, serta melemahkan seluruh sistem kemasyarakatan.

Bagi saya, ingatan ini penting dan harus diberi perhatian kerana ini antara punca utama yang menghancurkan kestabilan dan kesejahteraan hidup kita semua.

Apabila bercakap tentang penyalahgunaan kuasa, kita sering menganggap isu ini hanya berlaku dalam kalangan mereka yang berkuasa seperti pemimpin politik, pihak berkuasa dan sebagainya. 

Namun begitu, sebenarnya masalah penyalahgunaan kuasa sudah menjadi penyakit masyarakat yang  merebak jauh ke dalam seluruh lapisan masyarakat. Ia berlaku pada banyak peringkat bukan pada tampuk kuasa konvensional yang sering diperkatakan sahaja.

Kini, ramai daripada kita yang tidak lagi merasa malu atau bersalah apabila melakukan perkara salah. Malah, sehinggakan ada yang merasa bangga melakukan kemungkaran, tidak kurang pula yang berterusan menindas orang lain untuk kepentingan diri. 

Sikap tamak mendorong peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang setiap kali mereka berpeluang berbuat demikian demi laba yang besar, tanpa memikirkan kesannya terhadap pengguna.

Sebagai contohnya, walaupun harga modal masih tidak berubah tetapi harga sesuatu barang boleh melonjak naik hanya disebabkan kerana permintaannya meningkat tinggi.

Begitu juga dalam penyebaran maklumat di media sosial. Dengan kemajuan teknologi maklumat kini, mana-mana pengguna media sosial mampu melakar naratif bagi sesuatu tujuan.

Ramai yang mencipta cerita sensasi semata-mata kerana ingin menarik perhatian orang ramai tanpa mengambil kira soal etika atau kesan buruk daripadanya. Maka ramai yang berlumba-lumba menyebarkan apa sahaja yang mereka terima tanpa menghalusi kesahihannya.

Malah, ramai yang bertindak membuat kandungan berunsur umpan berang hanya untuk mendapat perhatian dan jumlah tontonan yang tinggi, walaupun perhatian tersebut datang dalam bentuk kebencian.

Malang sekali, perkara ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan pengguna biasa media sosial. Kini, sesetengah badan media dan wartawan profesional turut melakukan hal sama, terutamanya dalam politik global.

Saya tertarik mendengar pembentangan daripada Dr. Mustafa Caner daripada Institut Timur Tengah Universiti Sakarya, Turkiye yang mana beliau membangkitkan sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan sesetengah berita global yang jelas membelakangkan etika kewartawanan demi menarik perhatian pembaca walaupun memberi implikasi salah.

Menurutnya, media global sering memberi gambaran sempit, seolah-olah melakarkan imej dalam hanya satu warna sahaja apabila membincangkan tentang negara-negara Islam. Dalam kes Iran sebagai contoh, secara umumnya media global hanya akan menceritakan tentang bagaimana pentadbirannya ialah sebuah diktator kuku besi semata-mata tanpa menyebut tentang sudut lain negara tersebut.

Selain bertujuan melakar naratif tertentu, ini menjadikan berita mereka lebih menarik untuk dibaca kerana pembaca meminati cerita-cerita yang penuh sensasi, tidak kiralah tepat atau tidak.

Dengan kata lain, jika mereka menggambarkan Iran seperti seadanya, maka isu tentang Iran tidak lagi menjadi tarikan kepada pembaca kerana keadaannya tidak jauh berbeza berbanding keadaan di negara-negara lain di dunia.

Bagi yang tidak beretika, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengambil kesempatan atas ketakutan orang ramai dan menggunakannya untuk mengumpan perhatian dan mencipta naratif untuk mendapatkan sokongan.

Inilah padahnya apabila kita terlalu mengikut nafsu dan perasaan, bukan sahaja bagi mereka yang menyebarkan maklumat tetapi juga yang menerimanya. Perasaan kita juga boleh dimanipulasi dan diambil kesempatan oleh sesetengah pihak untuk membuat kita lakukan sesuatu tindakan.

Maka, dalam keadaan sebegini, kita harus berhati-hati dan berfikir secara matang agar tidak mudah dipermainkan. Pihak berkuasa juga mesti meletakkan kawalan yang wajar bagi mengelakkan kestabilan negara tergugat.

 

DALAM era digital, kebebasan tanpa batas membuka ruang kepada penyelewengan dan pembentukan naratif yang mengelirukan.

 

BAHAYA KEBEBASAN TANPA BATAS

 

Masalah ini semakin berleluasa kononnya atas nama kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat. Walaupun tiada yang menafikan kepentingan kebebasan tersebut tetapi apa gunanya bersuara atau menerima maklumat jika hanya akan membawa kepada keburukan?

Kebebasan tidak boleh mutlak, ia perlu berlandaskan tonggak amar makruf nahi mungkar. Amatlah mudah untuk kita melaungkan slogan-slogan sedemikian apabila kita tidak memikirkan tentang gambaran penuhnya, serta kesan-kesan buruk daripada kebebasan mutlak sebegini.

Saya turut tertarik dengan peribahasa Turkiye yang dipetik perdana menteri dalam ucaptama beliau, “minareyiyaptırmayan yerden bitmiş sanır,” yang bermaksud “barangsiapa tidak membina sebuah menara akan menganggap ia tumbuh dari tanah.”

Mereka yang tidak mengenal erti perjuangan dan kerja keras untuk mencapai kejayaan akan menganggap segalanya hanya datang bergolek ke riba.

Maka apabila mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu sekecil zarah, mereka akan menyalahkan semua orang dan merungut tentang segala perkara.

Keadaan ini memudahkan pihak tertentu memanipulasi dan memesongkan naratif bagi menyemai kebencian terhadap sesuatu pihak, terutama apabila kita bertindak bukan berasaskan pengetahuan dan penilaian kritikal tetapi sekadar mengikut sangkaan dan andaian.

Kita harus sedar tiada sesiapa pun yang berhak memperjudikan keamanan yang dinikmati, walau apa jua tujuan mereka. 

Sebagai warga dunia bertanggungjawab, kita mesti menegakkan kebenaran dan keadilan dalam apa jua bidang. -UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×