NEW DELHI: India memulakan gerak kerja operasi banci penduduk terbesar dunia untuk mengira keseluruhan populasinya yang dianggarkan mencecah 1.4 bilion orang selepas proses tersebut tertangguh sebelum ini akibat pandemik dan isu pentadbiran.
Sepanjang tahun hadapan, lebih tiga juta petugas akan bergerak dari rumah ke rumah, merentasi kota raya metropolitan sehinggalah ke perkampungan terpencil bagi mendaftarkan setiap isi rumah serta mengumpul data ciri-ciri sosial dan ekonomi penduduk.
Buat pertama kali dalam tempoh hampir 100 tahun, tinjauan ini akan turut merangkumi data kasta iaitu satu keputusan kontroversi yang dikhuatiri sesetengah pihak boleh memburukkan lagi jurang perpecahan dalam masyarakat.
Jumlah muktamad penduduk hanya akan diketahui pada tahun hadapan, sekali gus memperlihatkan skala luar biasa operasi ini yang cuba merakamkan demografi salah sebuah masyarakat paling pelbagai dan kompleks di dunia.
Mengikut ketetapan, India sepatutnya menjalankan bancian setiap sedekad, namun ini merupakan bancian pertama dalam tempoh 16 tahun selepas penangguhan pada 2021 akibat Covid-19 dan kekangan pentadbiran yang lain.
Semasa bancian rasmi terakhir pada 2011, India merekodkan lebih 1.2 bilion penduduk. Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kini menganggarkan India memintas China untuk menjadi negara paling padat penduduk di dunia dengan 1.4 bilion orang.
Demografi India juga mengalami peralihan zaman yang signifikan. Pada masa ini, lebih 40 peratus penduduk India berusia di bawah 25 tahun, dengan data PBB meletakkan anggaran umur median negara itu pada 2023 hanya 28 tahun, hampir sedekad lebih muda berbanding China.
Situasi ini mewakili ‘dividen demografi’ iaitu potensi pertumbuhan ekonomi yang pesat hasil daripada peralihan struktur umur penduduk yang memihak kepada tenaga kerja muda.
Lapor CNN, proses bancian ini akan dijalankan dalam dua fasa merangkumi kesemua 26 negeri dan wilayah pentadbiran persekutuan di India. Pada fasa pertama, pegawai akan mengumpul butiran mengenai keadaan isi rumah, kemudahan yang ada di setiap kediaman, serta aset-aset yang dimiliki.
Manakala pasa fasa kedua bermula Februari 2027 adalah bagi pengumpulan data mengenai demografi, gaji, pendidikan, migrasi dan tahap kesuburan.
Petugas yang sebahagian besarnya terdiri daripada guru sekolah dan pegawai kerajaan akan melawat hampir 640,000 buah kampung dan 10,000 buah bandar. Buat julung kalinya, semua data tersebut akan dihantar secara elektronik melalui aplikasi mudah alih bagi mempercepatkan proses analisis.










