WASHINGTON: Puluhan anggota Kongres Demokrat mendesak Presiden, Donald Trump digugurkan daripada jawatan, susulan kenyataan ekstrem beliau terhadap Iran, termasuk mengancam menghapuskan ‘seluruh tamadunnya’.
Dalam hantaran berasingan di media sosial, lebih 70 wakil rakyat termasuk beberapa senator menegaskan Kabinet Trump perlu menggunakan Pindaan ke-25 Perlembagaan untuk mengisytiharkan beliau tidak layak berkhidmat.
Mereka juga mencadangkan Kongres mendakwa dan menyingkirkan presiden Republikan itu atau kedua-duanya sekali.
“Dewan Perwakilan dan Senat mesti kembali bersidang. Dewan mesti meluluskan artikel pemecatan dan kemudian Senat mesti mengundi untuk memecat presiden.
“Atau Kabinet dan Naib Presiden menggunakan Pindaan ke-25 dan memecat Trump,” tulis Senator Demokrat dari Massachusetts, Ed Markey, dalam kenyataan di X.
Senator dari Connecticut, Chris Murphy, turut menyatakan sokongannya terhadap gesaan menggunakan Pindaan ke-25 bagi menyingkirkan Trump.
“Tiada presiden yang waras akan secara terbuka berjanji untuk menghapuskan seluruh tamadun sesebuah negara,” katanya.
Sementara itu, wakil rakyat California, Ro Khanna menegaskan, tindakan mengancam melakukan jenayah perang jelas melanggar Perlembagaan AS dan Konvensyen Geneva.
Kenyataan wakil-wakil rakyat Demokrat itu dibuat selepas Trump mengugut menghapuskan seluruh tamadun Iran jika Teheran gagal mencapai perjanjian dengan AS kelmarin.
Retorik ekstrem Trump mencetuskan kemarahan Demokrat dan kritikan sebahagian Republikan, yang menyifatkan ancaman tersebut sebagai jenayah perang.
Tidak sampai 90 minit sebelum tempoh akhir ditetapkan Trump kepada Iran, beliau mengumumkan serangan AS ke atas negara itu digantung selama dua minggu dan kedua-dua pihak kini terlibat dalam gencatan senjata dua hala.
Bagaimanapun, ramai anggota Demokrat tetap mendesak penyingkiran Trump meskipun beliau mengumumkan gencatan senjata berkenaan.- AGENSI










