TOKYO: Negara-negara Teluk termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini sedang menerokai penggunaan dron pemintas rekaan Ukraine yang bernilai AS$2,500 (RM9,942) sebagai alternatif lebih murah bagi menangani serangan Iran yang mula mengurangkan stok peluru berpandu buatan Amerika Syarikat (AS).
Syarikat Jepun yang memasarkan teknologi tersebut ke luar negara memberitahu Reuters sejak bermulanya perang AS-Israel dengan Iran, Teheran telah melancarkan gelombang dron murah yang dihasilkan secara besar-besaran, termasuk model Shahed yang serupa dengan penggunaan Russia di Ukraine.
Setakat ini, negara-negara Teluk dan tentera AS sebahagian besarnya bergantung kepada peluru berpandu pemintas yang mahal untuk menembak jatuh dron berkenaan.
Situasi ini menunjukkan peralihan besar dalam pertempuran udara, di mana sistem yang lebih murah dan digunakan dalam jumlah yang banyak mampu menghabiskan stok peluru berpandu pertahanan udara yang canggih secara beransur-ansur.
“Semua pihak sudah mula membuat kira-kira. Penggunaan peluru berpandu mahal jelas tidak masuk akal dari segi ekonomi dan orang ramai akhirnya mula menyedari hakikat itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Terra Drone, Toru Tokushige.
Beliau menambah, terdapat lonjakan pertanyaan dari Asia Barat sejak peperangan bermula.
Harga bagi setiap dron pintasan daripada Terra Drone adalah kira-kira 400,000 yen (RM10,044).
Sebagai perbandingan, peluru berpandu pemintas Patriot yang dilancarkan dari darat boleh menelan kos sekitar AS$4 juta (RM15.9 juta) setiap satu, manakala dron Shahed dianggarkan berharga serendah AS$20,000 (RM79,538).
Dalam minggu pertama konflik di Asia Barat, Iran telah melancarkan lebih 1,000 dron dan dianggarkan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan sekitar 10,000 unit sebulan.
Setakat ini, kedutaan Arab Saudi dan UAE di Tokyo masih belum memberikan sebarang ulasan mengenai perkara tersebut.
Terra Drone, yang dikenali menerusi penghasilan dron komersial, mengumumkan kemasukannya dalam jualan ketenteraan bulan lalu melalui kerjasama dengan syarikat permulaan Ukraine, Amazing Drones.
Lapor Reuters, firma itu telah membangunkan Terra A1, sebuah dron pemintas yang direka khusus untuk menangkis serangan Shahed yang dilancarkan oleh Moscow ke atas Ukraine.
Di bawah perjanjian tersebut, syarikat Jepun itu akan memasarkan dron tersebut ke pasaran antarabangsa selain menyediakan pelaburan serta kepakaran dalam bidang pembuatan.










