WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah mengeluarkan amaran kepada penguatkuasa undang-undang negeri dan tempatan mengenai peningkatan ancaman oleh kerajaan Iran terhadap sasaran di Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu, walaupun pihak Rumah Putih cuba meminimalkan kemungkinan serangan tersebut.
Laporan perisikan penguatkuasaan undang-undang yang disemak oleh Reuters menunjukkan dalam laporan bertarikh 20 Mac itu, FBI dan agensi perisikan persekutuan lain memberi amaran kerajaan Iran mewakili ancaman yang berterusan terhadap kakitangan dan bangunan tentera serta kerajaan AS.
Turut disenaraikan sebagai sasaran berpotensi ialah institusi Yahudi dan Israel, serta penentang kerajaan Iran yang berada di AS.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan FBI dan Pusat Pencegahan Keganasan Kebangsaan belum mengenal pasti sebarang ancaman luas terhadap orang awam AS setakat ini.
Presiden AS, Donald Trump secara terbuka telah meminimalkan kemungkinan serangan Iran di AS sebagai tindak balas kepada penilaian perisikan lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Apabila ditanya di luar Rumah Putih pada 11 Mac lalu sama ada beliau bimbang tentang kemungkinan Iran melakukan serangan di AS, Trump menjawab ringkas, ‘Tidak, saya tidak bimbang’.
Presiden dari parti Republikan itu bagaimanapun meningkatkan retorik konfliknya minggu ini dengan menyatakan pada Selasa seluruh tamadun akan musnah malam ini jika Iran tidak memenuhi tuntutannya, sebelum bertindak menangguhkan serangan yang diancam itu selama dua minggu.
Laporan 20 Mac bertajuk ‘Laporan Kesedaran Keselamatan Awam’ itu dikeluarkan beberapa minggu selepas Reuters dan agensi berita lain melaporkan Rumah Putih sebelum ini menyekat pengeluaran produk perisikan yang hampir serupa.
Pada ketika itu, Rumah Putih mendakwa mereka sedang memastikan sebarang maklumat ditapis dengan betul sebelum didedahkan kepada umum.
“Seluruh pentadbiran Trump sedang bekerjasama untuk melindungi tanah air dan rakyat AS seperti yang mereka sentiasa lakukan,” kata jurucakap Rumah Putih, Abigail Jackson dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyelar tindakan media yang dianggap cuba menanam rasa takut secara tidak bertanggungjawab dengan melaporkan memorandum penguatkuasaan undang-undang yang mungkin kekurangan konteks lebih luas.










