MALAYSIA sedang berlari dalam arus pembangunan pesat teknologi moden seperti perubatan canggih, pertanian pintar, robotik dan kecerdasan buatan (AI) demi kesejahteraan manusia.
Namun, di sebalik kegilaan mengejar inovasi, kita sering lupa akar tunjangnya iaitu sains asas, biologi, fizik, kimia dan matematik.
Tanpa akar ini, pohon teknologi akan tumbang. Lebih parah, boleh menimbulkan konflik yang merosakkan masyarakat dan alam sekitar.
Kita pernah percaya racun kimia adalah penyelamat sawah padi. Hakikatnya, ia hanya penyelesaian jangka pendek. Racun membunuh bukan sahaja spesies perosak tetapi juga spesies bukan sasaran.
Misalnya dalam meracun siput gondang emas, burung liar yang memakannya juga terkesan. Ekosistem hancur, kepelbagaian biologi terancam. Inilah akibat apabila teknologi digunakan tanpa kefahaman asas biologi seperti taksonomi, ekologi, fisiologi dan genetik.
Siput gondang emas, asalnya haiwan akuarium dari Amerika Selatan, kini menjadi mimpi ngeri petani Asia Tenggara. Racun digunakan secara meluas walaupun dilarang, kerana kurangnya pengetahuan ekologi dan kurangnya penerangan kepada petani.
Akhirnya, burung migrasi dan burung upah paruh sepit yang datang ke Semenanjung Tanah Melayu memakan siput turut terancam. Begitu juga dengan ikan-ikan air tawar yang sudah jarang ditemui akibat penggunaan racun yang tidak terkawal. Konflik antara kawalan perosak dan pemuliharaan kepelbagaian biologi ini adalah bukti jelas yang biologi asas bukan ilmu tambahan tetapi benteng kelangsungan hidup.
Apabila hutan diganggu, sungai tercemar dan hidupan liar kehilangan habitat menyebabkan manusia berdepan risiko penyakit zoonotik baharu.
Covid-19, virus nipah, kencing tikus dan influenza burung, sudah cukup memberi amaran. Tanpa kefahaman biologi mendalam, kita tidak akan mampu mengawal interaksi manusia-hidupan liar yang membuka pintu kepada pandemik seterusnya.
Fizik melahirkan robotik, tenaga nuklear dan komunikasi moden. Kimia pula menghasilkan ubat-ubatan, baja mesra alam dan tenaga bersih tetapi apabila kimia disalahguna, misalnya racun pertanian, ia merosakkan keseluruhan sistem.
Tanpa integrasi dengan ekologi, teknologi kimia menjadi senjata pemusnah ekosistem.
Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing. Kita mesti melahirkan pencipta.
Kursus asas fizik dan kimia di universiti mesti diperkukuh, agar lahir pakar yang mampu mencipta teknologi sesuaidengan realiti tempatan.
Matematik adalah bahasa universal sains. Dalam era AI, ia menjadi asas algoritma, analisis data dan pemodelan ekosistem tetapi dalam hal menggunakan teknolgi ini dalam kepelbagaian biologi persisan misalnya, tidak akan berjaya jika data biologi tidak mencukupi dan tepat.
Maka, pakar matematik mesti berganding bahu dengan ahli biologi. Tanpa matematik, sains moden tidak akan berkembang secara sistematik dan bersepadu.
Malaysia sudah lama melaungkan dasar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dengan sasaran 60:40 iaitu 60 peratus pelajar dalam bidang sains dan teknologi.
Namun, sasaran ini masih jauh. Universiti lebih menekankan sains gunaan kerana dianggap praktikal dan menjanjikan pekerjaan. Tetapi tanpa asas kukuh, sains gunaan tidak akan mampu berkembang.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mesti segera membincangkan halatuju pemerkasaan sains asas. Latihan pakar mesti berterusan, kesinambungan tidak boleh terputus apabila pakar bersara. Proses penggantian dan penerokaan bidang baharu perlu segera dan teratur.

PELABURAN STRATEGIK
Negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan Jerman sudah lama memahami sains asas adalah ‘akar’ kepada inovasi jangka panjang.
AS misalnya, melalui agensi seperti Yayasan Sains Kebangsaan (NSF) dan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), mereka berani melabur dalam kajian berisiko tinggi yang mungkin tidak nampak hasilnya dalam masa 10 tahun.
Namun, daripada kajian asas inilah lahir teknologi yang mengubah dunia seperti internet, sistem penentu kedudukan sejagat (GPS), RNA pengutus (mRNA).
China pula, dahulunya hanya meniru dan menambah baik teknologi Barat, namun kini mereka melabur dalam bidang fizik kuantum, genetik dan fusi nuklear. Tujuannya jelas untuk mengurangkan kebergantungan kepada Barat dan membina kedaulatan teknologi sendiri.
Begitu juga di Jerman, mereka memisahkan kajian asas daripada tekanan komersial. Saintis diberi ruang untuk menumpukan sepenuhnya kepada penemuan teori dan fenomena alam baharu.
Negara-negara maju memberi tumpuan kepada penyelidikan sains asas bagi menjamin kedaulatan teknologi mereka, supaya tidak terjejas sekiranya rantaian bekalan global terganggu. Pendekatan ini memastikan penemuan dalam bidang fizik atau biologi hari ini dapat diterjemahkan kepada industri dan ekonomi masa hadapan.
Pada masa sama, kemudahan sains asas yang canggih turut menarik bakat terbaik dari seluruh dunia untuk berkhidmat di negara mereka.
Sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi, kajian dalam bidang ini berpotensi menarik minat pakar antarabangsa. Malaysia juga boleh muncul sebagai hab dunia bagi penyelidikan biodiversiti dan sumber semula jadi, khususnya dalam bidang genetik, perubatan dan taksonomi.
Pemerkasaan sains asas bukan isu akademik semata-mata. Ia isu nasional yang menyentuh kelangsungan hidup manusia dan alam. Biologi memberi kefahaman tentang ekosistem dan kesihatan sementara fizik dan kimia melahirkan teknologi dan inovasi, manakala matematik menyatukan semua bidang dalam bahasa universal.
Tanpa asas ini, pembangunan teknologi akan terus menimbulkan konflik antara manusia dengan alam, ekonomi dengan ekologi dan inovasi dengan kesejahteraan.
Malaysia sebagai negara kaya kepelbagaian biologi mesti melahirkan pakar yang cukup dalam bidang asas ini. Latihan berterusan, kursus mantap di universiti dan integrasi disiplin mesti diperkukuh.
Jika gagal memperkasakan sains asas, kita bukan sahaja akan tercicir dalam perlumbaan teknologi tetapi juga menjerumuskan generasi akan datang ke dalam krisis ekologi, kesihatan dan ekonomi.
Pemerkasaan sains asas adalah pelaburan strategik untuk masa hadapan negara dan kesejahteraan manusia.-UTUSAN
DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.










