WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau bersetuju untuk menghentikan pengeboman ke atas Iran selama dua minggu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, dengan syarat Teheran membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz yang strategik.
Selepas lebih lima minggu serangan hebat ke atas Iran oleh ASA dan Israel, Trump berkata, beliau telah menerima cadangan yang diusahakan Pakistan untuk melanjutkan tarikh akhir yang ditetapkannya, namun sekali lagi menekankan kepentingan Selat Hormuz, laluan perairan penting bagi bekalan minyak dunia.
Trump memaklumkan sudah bercakap dengan pemimpin Pakistan yang memintanya menangguhkan kekuatan pemusnah yang akan dihantar ke Iran malam ini.
Beliau turut menyatakan Iran telah menghantar pelan 10 perkara kepada AS yang disifatkannya mampu dilaksanakan untuk rundingan.
“Tertakluk kepada Republik Islam Iran bersetuju untuk PEMBUKAAN SEPENUHNYA, SEGERA dan SELAMAT Selat Hormuz, saya bersetuju untuk menggantung pengeboman dan serangan terhadap Iran untuk tempoh dua minggu.
“Ini akan menjadi GENCATAN SENJATA DUA HALA! Sebabnya adalah kerana kita telah mencapai dan melebihi semua objektif ketenteraan dan kini sangat hampir memeterai perjanjian muktamad mengenai keamanan jangka panjang dengan Iran, serta keamanan di Asia Barat.
“Kami menerima cadangan 10 perkara daripada Iran dan percaya ia merupakan asas yang boleh dilaksanakan untuk rundingan,” kata Trump dalam hantaran di X, kira-kira sejam sebelum tarikh akhir yang ditetapkannya untuk memulakan serangan besar-besaran.
Pengumuman itu dibuat selepas Pakistan mengemukakan cadangan saat akhir untuk mengelakkan serangan besar AS ke atas Iran, dengan Trump memberi amaran bahawa ‘sebuah tamadun akan musnah malam ini’ jika perjanjian tidak dicapai.
“Hampir semua isu pertikaian sebelum ini antara AS dan Iran telah dipersetujui, tetapi tempoh dua minggu akan membolehkan perjanjian itu dimuktamadkan dan disempurnakan,” tambah Trump.
Harga minyak dunia segera jatuh dengan ketara susulan kenyataan Trump itu. Kos minyak sebelum ini melonjak sejak tercetusnya perang, sekali gus memberi tekanan politik yang besar terhadap beliau.-AFP










