Usah pandang mudah kemampuan Hong Kong 

Usah pandang mudah kemampuan Hong Kong   

Pearly Tan-M. Thinaah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah diberi peringatan keras agar tidak memandang enteng keupayaan pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying menjelang aksi pembukaan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 yang membuka tirainya di Ningbo, China, hari ini.

Amaran itu ditegaskan ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak yang mahu anak buahnya turun dengan mentaliti tajam walaupun di atas kertas mereka dilihat memiliki kelebihan.

Menurutnya, fokus utama tetap terarah kepada kekuatan sendiri di samping melakukan penyesuaian taktikal mengikut karakter lawan yang bakal dihadapi sepanjang kempen kejohanan tersebut.

“Bagi saya, undian kali ini agak seimbang dan Pearly-Thinaah akan membuka kempen bertemu Hong Kong. Secara keseluruhan mungkin tidak terlalu sukar, tetapi mereka tetap perlu berwaspada.

“Dalam kejohanan seperti ini, situasinya hampir sama dengan pertandingan lain. Jadi, pendekatan terbaik adalah kekal fokus kepada corak permainan sendiri,” kata Rosman.

Status sebagai naib juara dunia pastinya meletakkan Pearly-Thinaah dalam radar tumpuan, apatah lagi mereka mahu menebus kekecewaan selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi tahun lalu.

Pada BAC tahun lalu, langkah mereka tersekat seawal aksi pembukaan selepas tunduk kepada gandingan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dalam perlawanan yang mengecewakan.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, mereka tidak boleh lari daripada harapan tinggi. Sasaran kita memang besar, tetapi semuanya bergantung kepada prestasi semasa mereka di gelanggang,” jelasnya.

Untuk rekod, sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1962, Malaysia masih belum pernah merangkul gelaran dalam acara beregu wanita sekali gus membuka ruang terbaik buat Pearly-Thinaah mencipta sejarah baharu negara.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×