Lebih 20 serangan AS-Israel sasar fasiliti kesihatan Iran

Lebih 20 serangan AS-Israel sasar fasiliti kesihatan Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran keras terhadap serangan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas fasiliti kesihatan di Iran ketika peperangan terus meruncing, dengan terbaharu melibatkan pusat penyelidikan tertua di Tehran, Institut Pasteur.

Menerusi hantaran di platform X, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, serangan bertubi-tubi dilaporkan berlaku di Teheran, menyebabkan Institut Pasteur mengalami kerosakan ketara sehingga gagal meneruskan perkhidmatan kesihatan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Hossein Kermanpour turut berkongsi gambar yang memaparkan bangunan yang rosak teruk dengan sebahagian fasiliti tersebut roboh.

Bagaimanapun, agensi berita Iran, ISNA melaporkan perkhidmatan Institut Pasteur tidak terganggu sepenuhnya dan pengeluaran vaksin serta serum akan diteruskan.

Agensi itu turut mengesahkan tiada kakitangan yang tercedera dalam serangan yang didakwa dilakukan Israel dan AS itu.

Menurut Tedros, serangan sejak kebelakangan ini menunjukkan perluasan sasaran oleh AS-Israel yang kini mula membedil infrastruktur kesihatan, pendidikan dan pengangkutan, melangkaui tapak ketenteraan serta politik yang diserang pada awal peperangan.

Selain Institut Pasteur, Hospital Psikiatri Delaram Sina dan fasiliti farmaseutikal Tofigh Daru turut dilaporkan mengalami kerosakan, manakala sebuah letupan berhampiran Hospital Imam Ali di wilayah Khuzestan memaksa premis itu dikosongkan.

“Sejak 1 Mac, WHO telah mengesahkan lebih 20 serangan ke atas sektor penjagaan kesihatan di Iran yang mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan kematian, termasuk seorang petugas kesihatan penyakit berjangkit dan seorang ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Iran,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, agensi berita Mehr melaporkan serangan ke atas pusat penyelidikan laser dan plasma di Universiti Shahid Beheshti.

PBSM Iran pula mengesahkan sebuah gudang milik mereka musnah dibom, mengakibatkan kemusnahan kontena bantuan serta kenderaan kecemasan.

“Pekerja kemanusiaan, ambulans, bekalan bantuan dan fasiliti perubatan mestilah dihormati serta dilindungi,” menurut kenyataan badan bantuan itu.

Di bawah Konvensyen Geneva yang dipersetujui selepas Perang Dunia Kedua, fasiliti kesihatan dikategorikan sebagai lokasi yang dilindungi dan tidak boleh dijadikan sasaran ketenteraan.

Secara keseluruhan, Bulan Sabit Merah Iran melaporkan sebanyak 307 fasiliti perubatan dan kecemasan telah mengalami kerosakan sepanjang konflik ini berlangsung. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×