Kerajaan pastikan bekalan bahan bakar negara stabil

Kerajaan pastikan bekalan bahan bakar negara stabil

ARMIZAN Mohd. Ali (kiri) melakukan tinjauan di salah sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kerajaan akan memastikan bekalan bahan petroleum negara kekal stabil hasil pelan kontingensi yang sedang digerakkan meskipun berdepan ketidaktentuan global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, keutamaan kerajaan ketika ini bukan sahaja memastikan bekalan mencukupi tetapi menjamin rantaian pengedaran tidak dibolosi ketirisan.

Katanya, isu kebocoran dalam sistem pengedaran boleh memberi kesan besar kepada negara meskipun bekalan berada pada tahap stabil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mungkin ada bekalan mencukupi tetapi jika berlaku kebocoran dalam pengedaran, ia tetap memberi kesan besar kepada negara dan pengguna,” katanya selepas meninjau kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pasir Ajib, Tok Deh, di sini hari ini.

Armizan berkata, kerajaan melaksanakan pemantauan harian secara bersepadu melalui Dashboard Pangkalan Data Rantaian Pengedaran bagi menjejak pergerakan bahan petroleum bermula dari peringkat penapisan hingga ke pengguna akhir.

Katanya, pendekatan berasaskan data itu membolehkan sebarang ketirisan atau aktiviti mencurigakan dikesan lebih awal sebelum menjadi ancaman lebih besar.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa melalui platform rasmi KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan panik serta mengganggu kestabilan pasaran.

“Walaupun statistik menunjukkan penurunan kes dari 2024 ke 2025, kita tidak boleh leka. Risiko tetap tinggi dan tindakan tegas akan terus dipergiat,” ujarnya.

Sementara itu,  Armizan berkata, KDPN merekodkan nilai rampasan berjumlah RM14.9 juta menerusi Op Tiris 3.0 di seluruh negara sepanjang Januari hingga 15 Mac lalu.

Katanya, kejayaan itu dihasilkan melalui 433 kes membanteras ketirisan barangan kawalan yang dilakukan oleh sindiket penyeludupan.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu seramai 120 individu yang terlibat dengan penyelewengan ditangkap.

“Selain itu, KPDN menjalankan pemeriksaan ke atas 12,252 premis dalam usaha memastikan ketirisan barangan kawalan berjaya di kekang sebaik mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini