Percepat sidang Parlimen, tiada keperluan darurat selepas 1 Ogos - Utusan Malaysia

Percepat sidang Parlimen, tiada keperluan darurat selepas 1 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Seri Paduka bertitah, keputusan itu bagi memboleh­kan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara di­bahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Al-Sultan Abdullah amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform pen­ting untuk wakil-wakil rakyat ber­sidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya ber­kaitan penularan wabak Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat bo­leh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang da­lam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara.

“Perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil serta ber­upaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Co­vid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Di­raja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Seri Paduka berti­tah demi­kian selepas mempe­ngerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.

Sementara itu, Penyimpan Mo­hor Besar Raja-Raja dalam kenyataan berasingan berkata, Raja-Raja Melayu dalam per­­bin­­cangan itu sependapat ba­hawa tidak ada keperluan me­­letakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021.

“Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Dalam semangat tersebut, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda yang me­nitahkan agar Parlimen se­gera bersidang.

“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin. Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan Covid-19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini.

“Adalah menjadi kewajipan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Pemerintah negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Raja-Raja Pemerintah juga sependapat supaya program vaksinasi dipertingkatkan de­ngan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

Selain itu, Raja-Raja Peme­rintah senada bahawa program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta men­dapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpanda­ngan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘exit strategy’ bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Perbincangan khas semalam melibatkan sembilan Raja-Raja Melayu yang bermula pada pukul 2.30 petang, di Istana Negara dekat sini.

Lapan Raja-Raja Melayu berangkat ke perjumpaan itu ke­cuali Sultan Kelantan manakala Raja Perlis diwakili oleh Raja Muda. Ini kali kedua Raja-Raja Melayu mengadakan pertemuan khas selepas kali pertama pada 25 Oktober tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×