UNSC mengundi benarkan penggunaan kekuatan pertahanan lindungi Selat Hormuz

PBB undi benarkan tentera lindungi Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengundi pada Jumaat mengenai satu draf resolusi yang dibawa oleh Bahrain untuk membenarkan penggunaan kekuatan ketenteraan bagi melindungi kapal-kapal di Selat Hormuz daripada serangan Iran.

Iran mengenakan tekanan ketat ke atas laluan perkapalan penting itu, mengancam bekalan bahan api dan menggoncang ekonomi global sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang mencetuskan perang di Asia Barat sejak sebulan lalu.

“Kami tidak boleh menerima keganasan ekonomi yang menjejaskan rantau kami dan dunia. Seluruh dunia terkesan dengan perkembangan ini,” kata Duta Bahrain ke PBB, Jamal Alrowaiei minggu ini.

Beliau berkata, teks tersebut yang telah melalui beberapa pindaan dan disokong oleh AS, muncul pada saat yang amat kritikal.

Presiden, Donald Trump pada Rabu menyeru negara-negara yang berdepan kekurangan bahan api supaya mendapatkan minyak mereka sendiri di Selat Hormuz, sambil menambah tentera AS tidak akan membantu mereka.

Draf keenam dan terakhir, yang dilihat oleh AFP, memberi lampu hijau kepada negara anggota sama ada secara bersendirian atau melalui perkongsian tentera laut pelbagai negara secara sukarela untuk menggunakan semua cara pertahanan yang perlu dan sepadan dengan keadaan.

Ia terpakai di selat tersebut dan perairan bersebelahan untuk menjamin laluan transit serta menghalang cubaan menutup, mengganggu atau menghalang pelayaran antarabangsa melalui Selat Hormuz.

Langkah itu akan berkuat kuasa sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Draf resolusi itu telah diolah bagi mendapatkan sokongan beberapa negara yang dilihat ragu-ragu, termasuk Russia, China dan Perancis.

Perkataan yang disemak semula tidak lagi secara jelas merujuk kepada Bab 7 Piagam PBB, yang membenarkan UNSC mengizinkan penggunaan kekuatan bersenjata bagi memulihkan keamanan.

Versi terkini, yang akan diundi pada pukul 11  pagi (waktu tempatan) Jumaat, turut menekankan sifat pertahanan bagi sebarang campur tangan, satu ketetapan yang dilihat meredakan kebimbangan Perancis.

Duta Perancis ke PBB, Jerome Bonnafont, berkata, UNSC perlu segera merangka tindak balas pertahanan yang diperlukan selepas anggota mengundi pada Mac untuk mengutuk tindakan Iran menyekat Selat Hormuz.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebelum ini berkata, operasi ketenteraan untuk membuka semula laluan air itu adalah ‘tidak realistik’.

Tidak dapat dipastikan sama ada Russia dan China yang kedua-duanya mempunyai kuasa veto akan menyokong draf resolusi tersebut.

“Membenarkan negara anggota menggunakan kekuatan akan sama dengan mengesahkan penggunaan kekuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak berpilih, yang pasti akan membawa kepada peningkatan ketegangan dan akibat yang serius,” kata Duta China, Fu Cong.

Russia, sekutu lama Teheran, mengecam apa yang disifatkannya sebagai langkah berat sebelah.

Memandangkan kemungkinan veto oleh Russia dan China, teks itu berdepan peluang tipis untuk diluluskan oleh UNSC.

“Sukar untuk melihat mereka menyokong resolusi yang melihat kestabilan di selat itu semata-mata sebagai isu keselamatan dan bukannya turut menangani keperluan kepada penyelesaian politik yang berkekalan bagi menamatkan permusuhan,” kata Penganalisis di International Crisis Group, Daniel Forti kepada AFP.

Kebiasaannya, sekitar satu perlima minyak dunia dan gas asli cecair melalui Selat Hormuz.

Penutupan hampir sepenuhnya laluan itu menjejaskan bekalan global komoditi penting termasuk minyak, gas asli cecair dan baja, serta menyebabkan kenaikan mendadak harga tenaga.

Mandat Majlis Keselamatan yang membenarkan penggunaan kekuatan oleh negara anggota agak jarang berlaku.

Semasa Perang Teluk, undian pada 1990 membenarkan pakatan yang diketuai AS campur tangan di Iraq selepas pencerobohan Kuwait.

Pada 2011 pula, undian serupa membolehkan campur tangan NATO di Libya yang akhirnya membawa kepada kejatuhan dictator, Muammar Gaddafi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×