Al-quran bukan alat agenda menghalalkan budaya songsang

Al-quran bukan alat agenda menghalalkan budaya songsang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULARAN video memaparkan sepanduk mengandungi petikan ayat al-Quran yang didakwa diterjemah secara salah bagi mempromosikan budaya songsang ketika satu perarakan di ibu negara baru-baru ini mencetuskan kegusaran dan kebimbangan masyarakat Islam.

Isu tersebut dilihat bukan hanya sekadar kontroversi sosial, bahkan menyentuh kesucian wahyu yang menjadi sumber utama petunjuk kehidupan umat Islam yang perlu dihormati dan dimuliakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan tindakan mentafsir ayat al-Quran secara salah bagi menyokong agenda tertentu merupakan perbuatan yang mencemar kemuliaan kitab suci serta mengguris sensitiviti umat Islam.

Masyarakat juga turut dinasihatkan agar menghargai tradisi keilmuan Islam dan tidak menterjemah wahyu secara sewenang-wenangnya menurut hawa nafsu.

Insiden tersebut membuka ruang perbincangan yang lebih luas berkaitan bahaya manipulasi ayat al-Quran bagi menghalalkan ideologi atau budaya yang jelas bercanggah dengan nilai Islam.

 

AL-QURAN BUKAN TEKS BEBAS TAFSIR

Al-Quran merupakan wahyu Ilahi yang diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 2)

Kedudukan tersebut menjadikan al-Quran bukan sekadar teks yang boleh ditafsir menurut kehendak individu dan berkepentingan tertentu.

Tradisi keilmuan Islam yang bermula sejak zaman Sahabat Nabi SAW telah membangunkan disiplin tafsir yang tersusun bagi memastikan makna ayat difahami secara sahih dan tepat.

Penguasaan bahasa Arab, pengetahuan mengenai sebab turunnya ayat, pemahaman terhadap konteks ayat serta rujukan kepada tafsir ulama muktabar menjadi syarat asas dalam memahami wahyu.

Tanpa kerangka dan disiplin ilmu tersebut, ayat al-Quran boleh dipetik secara terpisah lalu disesuaikan dengan agenda tertentu.

Sejarah pemikiran Islam menunjukkan penyelewengan tafsir sering berlaku apabila teks wahyu dipisahkan daripada disiplin ilmu. Manipulasi ayat al-Quran bagi menyokong budaya songsang merupakan contoh kontemporari kepada fenomena tersebut.

LARANGAN BERKATA TENTANG AGAMA TANPA ILMU

Islam memberi amaran keras terhadap perbuatan berbicara mengenai agama tanpa pengetahuan yang sahih.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan keji sama ada yang zahir atau tersembunyi, dosa, pencerobohan tanpa hak, mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak diturunkan hujah mengenainya, serta mengatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-A‘raf: 33)

Ayat tersebut meletakkan perbuatan berkata mengenai agama tanpa ilmu sebagai kesalahan besar. Tindakan berkata tentang agama tanpa ilmu sebagai antara dosa paling berbahaya kerana kesannya bukan sahaja merosakkan individu, bahkan boleh menyesatkan masyarakat.

Penyalahgunaan ayat al-Quran bagi mempromosikan budaya songsang memperlihatkan bagaimana teks wahyu boleh dimanipulasi apabila disiplin ilmu diketepikan.

Terjemahan yang diubah atau ayat yang dipetik secara terpisah daripada konteks sebenar mampu menghasilkan makna yang bertentangan dengan maksud asal wahyu.

PRINSIP ISLAM TERHADAP BUDAYA SONGSANG

Islam menegaskan dengan jelas berkaitan hubungan seksual serta struktur institusi keluarga. Al-Quran merakamkan kisah kaum Nabi Lut AS sebagai peringatan terhadap penyimpangan seksual yang bertentangan dengan fitrah manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Patutkah kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu, bukan wanita? Bahkan kamu merupakan kaum yang melampaui batas.” (Surah al-A‘raf: 81)

Ayat tersebut menjadi asas kepada kesepakatan ulama bahawa hubungan sejenis merupakan perbuatan yang dilarang oleh syariat. Prinsip kekeluargaan dalam Islam berasaskan hubungan sah antara lelaki dan wanita bagi memelihara keturunan serta kestabilan sosial.

Usaha menggunakan ayat al-Quran bagi menyokong budaya songsang bukan sahaja menyalahi disiplin tafsir, malah cuba memutar makna wahyu bagi menghalalkan sesuatu yang ditegah secara jelas oleh syariat.

 

KESUCIAN wahyu perlu dipelihara melalui kefahaman yang betul agar kekal sebagai panduan hidup.

 

CABARAN ERA MEDIA SOSIAL

Perkembangan teknologi maklumat membuka ruang luas kepada penyebaran maklumat agama tanpa tapisan ilmiah. Petikan ayat al-Quran sering dipaparkan secara terpisah daripada konteks sebenar lalu disertakan tafsiran bebas yang tidak bersandarkan disiplin ilmu.

Fenomena tersebut mencetuskan kekeliruan khususnya dalam kalangan generasi muda yang memperoleh maklumat agama melalui media sosial. Tanpa bimbingan ilmiah yang kukuh, teks wahyu mudah disalah fahami atau dimanipulasi bagi menyokong ideologi tertentu.

Keadaan tersebut menuntut usaha pendidikan yang lebih menyeluruh. Literasi al-Quran perlu diperkukuhkan agar masyarakat mampu membezakan antara tafsiran sahih dengan manipulasi teks agama.

Demikianlah, kesucian al-Quran sebagai wahyu Ilahi menuntut penghormatan terhadap tradisi keilmuan Islam yang telah dibangunkan oleh para ulama sepanjang sejarah.

Penyalahgunaan ayat al-Quran bagi mempromosikan budaya songsang bukan sekadar kesilapan tafsiran, bahkan merupakan pencabulan terhadap kemuliaan kitab suci.

Tindakan tegas pihak berautoriti melalui arahan siasatan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menunjukkan komitmen memelihara kesucian agama daripada manipulasi tafsir yang menyeleweng. Keutuhan disiplin ilmu tafsir perlu terus diperkukuh agar wahyu Ilahi difahami menurut maksud sebenar yang dikehendaki oleh syariat.

Pemeliharaan kesucian al-Quran bukan sekadar tanggungjawab institusi agama, bahkan amanah bersama seluruh umat Islam agar kitab suci terus berfungsi sebagai sumber petunjuk, bukan alat legitimasi kepada agenda yang bertentangan dengan nilai Islam.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

DR. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah Pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa (IIC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×