PETALING JAYA: Anak syarikat Tencent, WeChat Malaysia Sdn. Bhd., dianugerahkan status Malaysia Digital (MD) oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), mencerminkan komitmen jangka panjangnya dalam menyokong transformasi digital Malaysia melalui penubuhan hab teknologi dan operasi perniagaan di negara ini.
Hab ini akan menyediakan sokongan teknikal bernilai tinggi serta penambahbaikan merentasi semua kumpulan perniagaan Tencent, sekali gus memacu inovasi dan penciptaan nilai dalam bidang permainan dan hiburan, pembayaran, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi awan.
Hab ini juga akan membawa kepakaran operasi Tencent untuk membantu memperkukuh sistem digital perniagaan tempatan.
Antaranya termasuk kerjasama dengan bank digital berasaskan AI pertama di Malaysia, Ryt Bank, yang mengguna pakai teknologi pemesejan serta komunikasi masa nyata daripada Tencent dalam aplikasinya bagi menyokong fungsi chatbot dan meningkatkan keselamatan transaksi kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata, pencapaian WeChat Malaysia dalam memperoleh status MD mengukuhkan kedudukan Malaysia serta kesediaannya sebagai pintu masuk strategik bagi syarikat teknologi global untuk mengembangkan inovasi dan operasi serantau.
“MDEC kekal komited untuk mewujudkan ekosistem yang memberangsangkan dan bersedia menghadapi masa depan yang membolehkan syarikat seperti Tencent berkembang maju, sambil merangsang pemindahan pengetahuan, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pembangunan keupayaan digital tempatan.
“Kerjasama ini jelas mencerminkan matlamat berterusan kami dalam memacu ekonomi digital Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Tencent juga akan terus meneroka kerjasama strategik yang menghubungkan perniagaan tempatan dengan pasaran global.
Usaha ini dapat dilihat melalui memorandum kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan Weixin Pay, yang bertujuan meningkatkan pengalaman perjalanan pelawat ke Malaysia.
Peniaga tempatan turut mendapat manfaat daripada sistem pembayaran mudah alih Weixin Pay yang lancar, dengan peningkatan perbelanjaan pelancong sebanyak 131 peratus tahun ke tahun semasa sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengurus Negara Tencent Malaysia, Judy Wong berkata, seiring dengan perkembangan pesat Tencent di Malaysia, pencapaian status MD ini mencerminkan keselarasan strategik kumpulan dengan aspirasi transformasi digital negara.
“Dengan menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi dan operasi perniagaan kami, kami dapat memperkukuh keupayaan tempatan sambil memacu inovasi yang memberi manfaat kepada jutaan pengguna di seluruh dunia,” jelasnya. – UTUSAN









