PADA 26 Februari lalu, ketika menghadiri sesi fisioterapi, ahli terapi saya menyebut satu frasa yang terus terngiang-ngiang dalam fikiran, “Puan, hormati kesakitan anda”.
Ahli terapi berkenaan tidak meminta saya menghapuskan kesakitan itu, bahkan tidak menyuruh saya mengabaikannya atau melawannya habis-habisan. Sebaliknya, hanya menyarankan agar menghormati kesakitan tersebut. Walaupun ringkas, ungkapan itu membawa makna yang mendalam.
Sebagai seseorang yang melalui puluhan tahun dalam dunia pendidikan sebagai guru dan kemudian pensyarah, saya sering tertarik dengan ungkapan yang mencetuskan renungan. Tanpa sedar, frasa tersebut segera mengingatkan saya kepada realiti dihadapi pendidik hari ini, khususnya ketika menuju pelaksanaan Kurikulum Persekolahan Baharu 2027 (KP2027).
Jika analogi ini dibawa ke dunia pendidikan, guru juga memiliki ‘kesakitan profesional’ yang wajar dihormati.
Perubahan kurikulum bukan perkara kecil. Ia menyentuh kandungan pembelajaran, pendekatan pedagogi, pentaksiran, struktur pengajaran serta beban tugas guru.
Dalam masa sama, perbincangan tentang kemasukan murid Tahun 1 pada umur enam atau tujuh tahun menimbulkan persoalan tentang kesediaan emosi dan sosial kanak-kanak.
Dalam keadaan ini, guru sering memikul keletihan fizikal, tekanan mental dan kebimbangan emosi. Mereka bukan menolak perubahan tetapi sering tertanya-tanya dalam diam sama ada perubahan yang diperkenalkan benar-benar mengambil kira realiti bilik darjah.
Persoalan tentang latihan, masa penyesuaian dan sokongan sistem menjadi kebimbangan yang wajar.
Menghormati kesakitan profesional guru tidak bermaksud menolak pembaharuan. Sebaliknya, mengakui perubahan memerlukan persediaan yang rapi dan sokongan yang mencukupi.
Sebagai contoh, pendekatan pengajaran bersama (co-teaching) yang dicadangkan dalam kurikulum baharu boleh menjadi langkah positif. Apabila dua guru bekerjasama dalam satu kelas, mereka dapat berkongsi tanggungjawab, membantu murid pelbagai tahap dan memberi perhatian kepada murid yang memerlukan bimbingan tambahan.
Pendekatan ini memerlukan latihan, kefahaman peranan serta budaya kolaborasi yang sihat di sekolah.
Jika dilaksanakan tanpa persediaan rapi, boleh menjadi sumber tekanan baharu kepada guru. Begitu juga dengan isu kemasukan murid Tahun 1 pada umur enam atau tujuh tahun. Perbincangan ini perlu melihat aspek perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bukan sekadar keseragaman polisi.
Apabila suara guru didengari dalam perbincangan dasar pendidikan, itu tanda hormat. Apabila pengalaman bilik darjah diambil kira sebelum sesuatu dasar diperluas, itu tanda kebijaksanaan.
Pendidikan bukan sekadar soal dokumen, struktur atau garis masa pelaksanaan tetapi tentang usaha guru, murid yang belajar dan sekolah yang membentuk masa hadapan.
SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor










