JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 54 tahun yang bertindak menunjukkan kemaluannya kepada dua kanak-kanak perempuan di Tampoi, di sini telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, suspek ditahan di sebuah rumah di Masai, di sini malam tadi.
Katanya, penahanan itu susulan satu laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 33 tahun pada pukul 4.46 petang semalam.
“Menurut pengadu, anak perempuannya yang berusia 12 tahun serta anak saudaranya yang berusia 10 tahun ditahan seorang lelaki yang memandu sebuah kenderaan jenis Honda Accord.
“Lelaki tersebut bertanyakan tentang tandas sebelum bertindak menunjukkan kemaluannya kepada kedua-dua mangsa, menyebabkan mangsa melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Radin Ramlan, siasatan dibuat pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 1 petang, di sekitar Bandar Baru Uda, di sini semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu kesalahan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Radin Ramlan turut memberitahu pihaknya memandang serius sebarang kesalahan melibatkan jenayah seksual khususnya yang melibatkan kanak-kanak. – UTUSAN










