PN gesa kerajaan perjelas mekanisme penentuan harga diesel

PN gesa kerajaan perjelas mekanisme penentuan harga diesel

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menjelaskan kaedah penentuan harga diesel susulan kenaikan berterusan bahan api itu yang kini mencecah RM6.02 seliter.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketelusan mengenai kadar pertukaran, kos, margin dan komponen fiskal harga akhir diesel adalah penting bagi meningkatkan keyakinan awam dan menstabilkan sentimen pasaran.

Katanya, perbandingan serantau setakat 1 April menunjukkan harga diesel di Thailand adalah RM4.99 seliter, Indonesia antara RM1.60 hingga RM3.37, Vietnam RM5.40 dan China RM4.80 seliter.

“Dengan harga mencecah RM6.02 seliter, Malaysia berisiko menjadi antara negara dengan harga diesel tertinggi di rantau ini walaupun merupakan pengeluar minyak dan gas.

“Kerajaan perlu mewujudkan mekanisme penstabilan harga termasuk penetapan harga siling atau penampan bagi mengelakkan kenaikan mendadak, selain mempertimbangkan penanda aras harga pasaran serantau bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap dasar yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, kenaikan bahan api berpotensi kos operasi pelbagai sektor secara berganda.

“Syarikat dalam sektor logistik, pengangkutan, pertanian, pembuatan, peruncitan dan pengedaran makanan telah memberi amaran bahawa kenaikan kos input ini sukar ditampung dan berpotensi menyebabkan peningkatan harga barangan serta perkhidmatan.

“Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dengan margin tipis turut berdepan kesukaran menyerap kos tambahan, sekali gus meningkatkan risiko inflasi kos yang menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.

Lebih membimbangkan, tambahnya, dasar kerajaan melalui rasionalisasi subsidi dan penentuan harga berdasarkan mekanisme pasaran menunjukkan bahawa pelarasan harga bahan api mungkin akan diteruskan.

Ujanya, keadaan ini menimbulkan ketidaktentuan bagi perniagaan dan isi rumah dan menyukarkan perancangan kos dan pelaburan jangka panjang.

“Sehubungan itu, PN menuntut kerajaan menjelaskan unjuran harga diesel bagi beberapa bulan akan datang, termasuk sama ada paras RM6.02 seliter merupakan harga maksimum atau masih tertakluk kepada pelarasan.

“PN mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh atau cukai tenaga sementara ke atas industri minyak dan gas berikutan keuntungan luar biasa yang diraih daripada harga tenaga global selain menyediakan subsidi bersasar, pelepasan cukai dan insentif kos bagi mengawal kesan kenaikan harga bahan api,”ujarnya.

Menurutnya, kerajaan perlu memperincikan impak kenaikan tarif elektrik terhadap perniagaan dan inflasi serta langkah segera dan konkrit bagi melindungi perniagaan dan isi rumah daripada tekanan kos terkumpul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN